
Indira Gandhi memfailkan saman itu pada 28 Okt tahun lepas dan menamakan KPN, polis, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat.
KPN, polis, KDN dan kerajaan memfailkan notis rayuan itu di Mahkamah Rayuan pada 13 Ogos lepas kerana tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 16 Julai.
Peguam Kanan Persekutuan, Andi Razalijaya A Dadi yang mewakili semua defendan, ketika dihubungi berkata salinan notis rayuan itu telah diserahkan kepada peguam Indira Gandhi melalui e-mel pada 16 Ogos.
Pada 16 Julai lepas, Nazlan menolak permohonan semua defendan atas alasan, antaranya kes itu tidak nyata dan tidak mampan untuk mewajarkan ia dibatalkan terus, sebaliknya harus ditentukan melalui perbicaraan penuh dengan pihak terbabit berpeluang membentangkan kes mereka serta memanggil saksi.
Pernyataan tuntutan Indira, 46, mendakwa KPN dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anaknya, Prasana Diksa, yang kini berusia 13 tahun.
Beliau mendakwa semua defendan juga berperanan membuat keputusan atau memberikan arahan kepada polis bagi melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya seperti diarah Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016.
Plaintif juga mendakwa kelakuan semua defendan secara langsung menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya berlanjutan hingga hari ini dan Muhammad Riduan berjaya melarikan diri.
Justeru, beliau menuntut RM100 juta sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta faedah, selain memohon deklarasi KPN melakukan “tort of nonfeasance” atau sengaja tidak mengambil tindakan di pejabat awam manakala polis, KDN dan kerajaan bertanggungjawab secara vikarius bagi “tort of nonfeasance” yang dilakukan KPN.