
PH Wong dari Yayasan Childline berkata, terdapat juga keperluan menangani isu kanak-kanak yang ditinggalkan di rumah selepas ibu bapa mereka dimasukkan ke hospital atau terpaksa dirawat untuk tempoh yang lama sehingga tidak mampu menjaga anak mereka.
Katanya, ia perlu diberikan perhatian yang lebih kerana rumah anak yatim kerajaan sendiri sudah “penuh” meskipun sebelum pandemik Covid-19.
Beliau berkata, isu-isu ini ditambah dengan peningkatan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang disebabkan oleh sekatan pergerakan dan masalah sosioekonomi yang semakin meningkat mengakibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak menjangkakannya.
Oleh itu katanya, “pelindung kanak-kanak” yang diwartakan oleh JKM mungkin tidak dapat menampung peningkatan jumlah kanak-kanak yang memerlukan penjagaan dan perlindungan pada masa akan datang.
“Itu sebabnya kami meminta JKM membenarkan pembantu pelindung kanak-kanak NGO (yang diwartakan dan diluluskan JKM) bagi membantu mengurus, mengendalikan dan membuat susulan kes yang mungkin tidak memerlukan pelindung kanak-kanak JKM,” katanya kepada FMT.
Katanya, data terkini menunjukkan peningkatan jumlah kematian dalam kalangan usia muda, yang berkemungkinan juga termasuk pasangan ibu bapa muda dengan anak yang masih berada di rumah.
Tambah beliau, anggaran tepat kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa mereka tidak diketahui. Hospital juga tertakluk kepada kerahsiaan pesakit dan mungkin tidak dapat mendedahkan maklumat mengenai keluarga mereka yang meninggal akibat Covid-19.
Bagaimanapun Kementerian Pendidikan (KPM) mendedahkan kira-kira 1,500 pelajar seluruh negara menjadi anak yatim susulan pandemik sejak Mac tahun lalu.
Wong berkata, “anak yatim Covid-19” sepatutnya tidak ditempatkan di rumah anak yatim atau institusi kerana situasi trauma berikutan mereka kehilangan penjaga atau ibu bapa.
“Kami mencadangkan mereka ditempatkan di bawah penjagaan berasaskan keluarga di mana mereka disatukan dalam kumpulan yang lebih kecil atau dengan keluarga angkat sehingga rawatan dan perhatian yang tepat dapat diberikan.
“Petempatan selamat seperti ini mesti dilakukan dengan kerjasama pejabat JKM daerah,” katanya, sambil menambah bahawa Yayasan Childline akan mengadakan pertemuan dengan agensi kerajaan mengenai masalah ini dalam waktu terdekat.
“Kami mahu mengendalikan kes ini mengikut peruntukan undang-undang. Kami mahu kerajaan mengiktiraf kami. Kita perlu melakukannya bersama-sama. Terdapat keperluan mendesak untuk menggerakkan NGO berikutan situasi luar biasa ini. Bersama-sama, kita dapat bekerja demi kepentingan terbaik anak-anak dan keluarga mereka,” tambah Wong.
Katanya, pada Julai Pasukan Petugas Khas Lembah Klang Covid-19 telah meminta yayasan itu menubuhkan Pasukan Penyokong Krisis Kanak-kanak (CCST) Covid-19 yang terdiri daripada sukarelawan dari rangkaian NGO hak asasi kanak-kanak dan aktivis bagi menyokong kanak-kanak ini dan mereka yang tidak dapat bersama ibu bapa mereka.
Tambah beliau, yayasan itu juga meminta bantuan NGO berkaitan penjagaan anak yang bersedia memberikan petempatan sementara di beberapa pusat mereka yang tidak beroperasi berikutan pelaksanaan perintah sekatan pergerakan.
Pusat persendirian berkenaan boleh dijadikan tempat yang selamat untuk anak-anak yang ibu bapanya berada di hospital atau sebagai pusat kuarantin yang mesra kanak-kanak untuk anak-anak kecil yang tidak mempunyai sesiapa untuk menjaga mereka.
Katanya, anggota CCST dan NGO juga telah membentuk satu pasukan pakar kesihatan mental untuk memantau kanak-kanak terbabit dan memastikan mereka menjalani kehidupan dengan baik dari segi kawalan emosi.
Mereka yang berumur di bawah 18 tahun yang memerlukan sokongan kesihatan mental boleh menghubungi Buddybear Childline di talian 1800-88-2327.
Sekiranya ada yang mengetahui kanak-kanak yang menjadi yatim piatu atau ditinggalkan di rumah bersendirian dan memerlukan rawatan segera, CCST boleh dihubungi melalui Whatsapp di 011-2309 1234.