Pantau ‘ulat tayamum’ caj tinggi urus jenazah Covid-19, gesa wakil rakyat

Pantau ‘ulat tayamum’ caj tinggi urus jenazah Covid-19, gesa wakil rakyat

ADUN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata terdapat waris jenazah Covid-19 dikenakan bayaran sehingga RM750 bagi proses tayamum.

Azmizam Zaman Huri berkata, masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengenakan caj tinggi kepada waris jenazah Covid-19 untuk proses tayamum. (Gambar Dewan Negeri Selangor)
SHAH ALAM:
Seorang wakil rakyat PKR di Selangor menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memantau “ulat tayamum” yang mengambil kesempatan mengenakan caj tinggi ke atas waris jenazah Covid-19.

Azmizam Zaman Huri (PKR-Pelabuhan Klang) berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi, terdapat waris yang dikenakan bayaran mencecah sehingga RM750 bagi proses tayamum.

“Saya minta pihak JAIS semak balik sebab sampai sekarang masih lagi berlaku kezaliman ini.

“Sekarang bagus tayamum tidak perlu pada jenazah Covid-19, kalau tidak ‘ulat tayamum’ ini ramai ambil kesempatan sampai caj RM750 untuk tayamum sahaja,” katanya ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau juga menggesa supaya JAIS mengkaji semula pelaksanaan kubur berpusat bagi jenazah Covid-19 dengan mengembalikan kebenaran mengebumikan di kawasan perkuburan tempat tinggal si mati.

“Sampai masa kubur kariah diguna semula untuk pengurusan jenazah Covid-19. Kalau alasan mengatakan Kementerian Kesihatan (KKM) susah nak pergi semua tempat urus jenazah, kita latih ramai sukarelawan kerja dengan KKM sebab nak urus jenazah Covid-19 bukan susah,” katanya.

Terdahulu, Mufti Selangor Anhar Opir berkata, jenazah Covid-19 di negeri itu tidak perlu melalui proses tayamum sekiranya memberi risiko jangkitan kepada pihak yang melakukan proses berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 7 Ogos lalu dan telah mendapat perkenan Sultan Sharafuddin pada 11 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.