
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat keperluan untuk mengamalkan pemakaian pelitup muka berganda dan alat pelindung muka untuk mengurangkan penularan jangkitan Covid-19.
FMT melihat lebih lanjut mengenai keberkesannya dalam melawan virus Covid-19 dan apa kata pakar perubatan mengenainya.
Perlindungan lebih baik
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat berkata, pelitup muka berganda, iaitu penggunaan pelitup muka fabrik bersama pelitup muka pembedahan, yang digunakan bersama alat pelindung muka boleh memberi perlindungan lebih baik berbanding hanya mengenakan pelitup muka kain atau pelitup muka pembedahan tiga lapisan.
Pelitup muka tidak diperlukan sekiranya seseorang memakai jenis N95 yang boleh menapis sehingga 95% partikel yang terapung di udara.
Pelitup muka berganda dan alat pelindung muka boleh melindungi pengguna daripada titisan pernafasan yang menyebarkan Covid-19 serta varian yang berbahaya.
Alat pelindung muka memberi perlindungan luar terhadap titisan pernafasan dan partikel asing manakala pelitup muka berganda pula menutup ruang yang masih terdedah pada pemakaian pelitup muka.
Pemakaian pelitup muka kedua boleh memperbaiki kesesuaiannya, menapis dan menghalang blok partikel aerosol secara efektif.
“Ini kerana ia menggandakan lapisan bahan yang perlu dilalui virus yang mengandungi titisan pernafasan sebelum sampai ke bahagian muka,” kata CEO Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib.
Azrul berkata, alat pelindung muka menawarkan perlindungan daripada pencemaran kepada pemakainya dan juga kepada orang lain.
“Ia memberi perlindungan pada bahagian mata yang tidak boleh dilakukan dengan pemakaian pelitup muka.”
Menurut Noor Hisham, pemakaian pelitup muka berganda dan alat pelindung muka memberi perlindungan sehingga 96% daripada virus Covid-19 termasuk varian Delta yang berbahaya, iaitu varian dominan di negara ini.
Manakala CDC berkata, pelitup muka selapis hanya memberi perlindungan sebanyak 65% terhadap titisan air.
Siapa, bila dan di mana?
Pakar berkata, amalan perlindungan secara berganda itu bukan pendekatan untuk semua. Sebaliknya ia bergantung kepada keadaan individu, tahap terdedahnya kepada persekitaran dan lokasi.
“Pemakaian pelitup muka berganda dan alat pelindung muka disarankan kepada mereka yang tidak mengambil suntikan vaksin dan belum lengkap dos vaksin atau di kawasan di mana tidak dapat mengelak daripada berada berhampiran orang lain,” kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy.
Subramaniam berkata, amalan ini ideal dilakukan ketika berada di restoran, salun rambut dan beberapa kawasan lain apabila orang ramai berada dekat dengan orang lain.
Azrul berkata, alat pelindung muka adalah perlindungan tambahan yang baik sekiranya seseorang terdedah kepada atau sering bertemu dengan orang awam.
“Jika tidak, pelitup muka sahaja sudah mencukupi.”
Adakah ia patut menjadi sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) Covid-19?
Azrul berkata, pelitup muka berganda dan alat pelindung muka tidak semestinya perlu menjadi sebahagian daripada SOP Covid-19.
“Ia bergantung kepada keadaan dan tahap pendedahan yang dihadapi oleh individu. Alat pelindung muka dan pelitup muka berganda telah menjadi sebahagian daripada protokol standard PPE untuk mereka yang bekerja dalam perkhidmatan tertentu termasuk penyedia penjagaan kesihatan dan perniagaan runcit.”
Dia berkata, majikan yang bimbang dengan keselamatan di tempat kerja boleh menilai keadaan dan tahap pendedahan yang dihadapi oleh pekerjanya.
“Pertimbangkan sama ada pelindung muka diperlukan untuk pekerja seperti juruwang di pasar raya. Jika benar, pastikan pekerja dilengkapi alat pelindung muka dan memakainya ketika bekerja.”