
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, saringan itu dilakukan oleh majikan sebagai persediaan sebelum memasuki tempat kerja, saringan kontak rapat kepada rakan sekerja yang positif atau saringan kendiri oleh pekerja di kemudahan kesihatan swasta.
Daripada jumlah itu katanya, 62% atau 33,214 pekerja dari sektor perkilangan, 14.5% atau 7,768 pekerja sektor perkhidmatan, 13.5% (7,232) pekerja sektor pembinaan dan 10% (5,357) sektor perdagangan.
“Secara kasarnya, jumlah tersebut menjadikan 17.1% kes yang dikenal pasti di Selangor (daripada 313,075 kes mulai Julai lalu hingga kini) adalah pekerja industri,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjawab soalan Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang) mengenai jumlah pekerja yang disyaki dijangkiti Covid-19 ketika bekerja dalam sektor perindustrian.
Sementara itu Amirudin berkata, 79 daripada 220 kilang yang diperiksa oleh Jabatan Kesihatan Selangor mulai 13 Julai hingga 23 Ogos lalu diarahkan tutup di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana melakukan tiga atau lebih kesalahan dalam SOP.
“Arahan penutupan ini dikeluarkan selama tujuh hari dan pemilik industri turut diberikan arahan kerja dan penambahbaikan untuk diselesaikan dalam tempoh penutupan itu.”
Katanya, 42 lagi kilang dikompaun kerana melanggar kurang daripada tiga kesalahan dalam SOP sektor pembuatan.