180,000 vaksin CanSino di Sabah sebelum akhir Ogos

180,000 vaksin CanSino di Sabah sebelum akhir Ogos

Pengarah Kesihatan negeri Dr Rose Nani Mudin berkata Sabah menerima vaksin satu dos itu secara berperingkat.

Kumpulan pertama vaksin CanSino tiba di Kota Kinabalu pada 24 Ogos. Sejumlah 180,000 dos akan tiba di negeri ini pada hujung bulan ini. (Gambar Jabatan Penerangan)
KOTA KINABALU:
Pengarah Kesihatan Sabah Dr Rose Nani Mudin berkata, negeri itu akan menerima 180,000 dos vaksin CanSino sebelum akhir bulan ini.

Mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah terdahulu hari ini, Rose berkata negeri itu menerima vaksin satu dos itu secara berperingkat dan bukan dalam satu penghantaran.

“Keseluruhan 180,000 dos itu akan dihantar ke Sabah dalam beberapa penghantaran, dengan kumpulan pertama 53,000 dos diterima pada 24 Ogos dan 43,000 lagi dalam kumpulan kedua pada 25 Ogos,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, baki dos akan tiba di Sabah sebelum akhir Ogos.

Noor Hisham hari ini berkata 180,000 dos CanSino telah dihantar ke Sabah.

Dalam catatan di Facebook dan Twitter, beliau menyatakan harapan vaksin satu dos itu dapat mempercepat dan meningkatkan kadar vaksinasi di Sabah terutama di kawasan luar bandar.

Menurut Star Online, 43,200 dos vaksin CanSino tiba di Lapangan Terbang Antarbangsa Kota Kinabalu, semalam.

Vaksin itu akan diutamakan untuk kawasan terpencil, kata Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Masnah Matsalleh yang berkata, Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti kawasan yang akan menerima vaksin berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.