Tak hadir pertuduhan rasuah, pemilik syarikat teksi bergelar Datuk kena waran tangkap

Tak hadir pertuduhan rasuah, pemilik syarikat teksi bergelar Datuk kena waran tangkap

Waran tangkap dikeluarkan bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah pada 9 September.

Hakim Rozilah Salleh berkata, mahkamah mengeluarkan waran tangkap kerana prosedurnya kini berbeza dan tertuduh dibenarkan pulang dari hospital selain pemberian masa selama dua minggu oleh mahkamah untuk serah diri adalah memadai.
SHAH ALAM:
Mahkamah Sesyen mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang pemilik syarikat teksi bergelar Datuk kerana gagal hadir bagi menghadapi pertuduhan kes rasuah.

Perintah itu dikeluarkan hakim Rozilah Salleh selepas Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh.

“Waran tangkap dikeluarkan bagi memastikan kehadiran tertuduh pada 9 September ini,” kata hakim itu.

Terdahulu, peguam Putri Aisyah Zahirah Zakrya yang mewakili tertuduh, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak dapat hadir hari ini dan prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 dan 8 Ogos lepas kerana dijangkiti Covid-19 pada 3 hingga 11 Ogos lepas.

Katanya, anak guamnya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 7 hingga 11 Ogos dan kemudian dibenarkan keluar dari hospital berkenaan sebelum dimasukkan pula ke Hospital Prince Court pada 12 hingga 23 Ogos dan memperoleh cuti sakit hingga 6 September ini.

Peguam itu turut memohon maaf kerana kelewatan menyerahkan sijil cuti sakit anak guamnya kepada mahkamah berikutan hanya memperoleh dokumen itu pada petang semalam.

“Saya memohon budi bicara mahkamah untuk mengambil kira keadaan kesihatan anak guam yang turut mendapatkan rawatan bagi penyakit kanser kolon yang dihidapinya,” katanya.

Rozilah bagaimanapun berkata, mahkamah mengeluarkan waran tangkap kerana prosedurnya kini berbeza dan tertuduh telah dibenarkan pulang dari hospital selain pemberian masa selama dua minggu oleh mahkamah untuk serah diri adalah memadai.

“Tertuduh juga dikehendaki mengemas kini aplikasi MySejahtera (kerana) sijil cuti sakit tidak mencukupi dan (mahkamah) mahukan status kesihatan tertuduh yang terkini,” kata Rozilah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.