Pinda pelan pembangunan selepas S&P ditandatangani adalah salah, putus mahkamah

Pinda pelan pembangunan selepas S&P ditandatangani adalah salah, putus mahkamah

Keputusan dibuat terhadap tuntutan yang dikemukakan sekumpulan pembeli unit kondominium mewah terhadap sebuah pemaju.

Mahkamah bersetuju dengan sekumpulan pembeli unit kondominium mewah Princess Cove bahawa pemaju menghalang mereka menuntut penalti lewat penyerahan dengan meminda pelan asal.
JOHOR BAHRU:
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa tindakan meminda pelan pembangunan selepas perjanjian jual beli (S&P) ditandatangani adalah melanggar kontrak.

Keputusan itu dibuat dalam kes tuntutan secara ‘class action’ yang dikemukakan oleh 145 pembeli unit kondominium mewah di sini terhadap sebuah syarikat pemaju.

Dalam keputusan yang dikeluarkan pada Isnin, mahkamah bersetuju dengan pembeli unit kondominium di Princess Cove bahawa pemaju harus mendapatkan persetujuan mereka sebelum meminda pelan asal Fasa 1 dalam S&P kepada Fasa 1a dan 1b.

Di bawah Fasa 1, sepatutnya terdapat tujuh blok yang dibina bersama sebuah pusat beli-belah.

Bagaimanapun, selepas pindaan, hanya terdapat tiga blok penghuni yang disiapkan dahulu tanpa blok lain seperti dinyatakan dalam S&P.

Mahkamah juga bersetuju dengan plaintif bahawa penyerahan pemilikan kosong pada Oktober 2017, yang mendakwa Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (selamat untuk diduduki) telah diperolehi untuk Fasa 1a, adalah melanggar S&P dan oleh itu, pemaju harus membayar caj lewat penyerahan.

Ia turut memutuskan caj bayaran penyelenggaraan selama 13 bulan yang dibayar oleh pembeli sebelum tempoh siap yang sebenar seperti dalam S&P pada November 2018, harus dipulangkan semula.

Pesuruhjaya kehakiman Evrol Mariette Peters, ketika menyampaikan keputusannya, bersetuju dengan pembeli bahawa pemaju, R&F Development Sdn Bhd menghalang mereka mendapatkan penalti lewat penyerahan dengan meminda pelan asal pembangunan.

Menurut peguam yang mewakili pembeli, NG Vinod, firmanya akan meneruskan pemfailan penilaian ganti rugi di Mahkamah Tinggi dan menganggarkan tuntutan itu mungkin mencecah kira-kira RM10 juta.

Jurucakap kepada pembeli, beliau menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan bagi kumpulan terbabit yang memulakan tindakan undang-undang berkenaan empat tahun lalu.

Dia berkata, ini juga boleh digunakan sebagai kes rujukan kepada pembeli rumah lain yang berdepan situasi sama.

“Unit ini berharga antara RM500,000 dan RM1.4 juta. Kami sepatutnya diberikan apa yang telah dijanjikan. Mahkamah telah bersetuju dengan kami bahawa pindaan pelan itu adalah langkah untuk menghalang kami menuntut penalti lewat penyerahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.