Perjanjian Ismail-PH petanda baik, kata pemimpin Umno

Perjanjian Ismail-PH petanda baik, kata pemimpin Umno

Dalam pertemuan dengan pemimpin PH hari ini, Ismail Sabri Yaakob 'bersetuju dan memahami pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan pemerintahan yang baik'.

Ismail Sabri Yaakob bergambar dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu hari ini.
PETALING JAYA:
Susulan kenyataan bersama dikeluarkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin Pakatan Harapan (PH), pemimpin Umno memuji kerjasama itu yang dianggap pembuka jalan positif terhadap pentadbirannya.

Terdahulu, Ismail menemui pemimpin parti komponen PH buat julung kali sejak pelantikannya, dan kemudian dalam kenyataan berkata, mereka “bersetuju dan memahami pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan pemerintahan yang baik”.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menyifatkan hasil pertemuan itu sebagai “berita baik” buat semua rakyat.

“Ini akan membantu mengukuhkan konsep ‘Keluarga Malaysia’…satu permulaan ke arah betul untuk Malaysia,” tulisnya di Twitter.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki turut menyifatkannya sebagai permulaan baik daripada perdana menteri, seiring gesaan dalam ucapan sulungnya berhubung “Keluarga Malaysia”.

“Paling penting, kita memerlukan sebuah kerajaan stabil untuk menumpu perhatian bagi memerangi Covid-19 dan melindungi punca pendapatan rakyat.”

Beliau turut berharap kerajaan baharu akan mendengar tuntutan rakyat dan melaksanakan moratorium pinjaman tanpa faedah, meningkatkan rangsangan tunai langsung dan kemudahan pengeluaran KWSP i-Citra kerana rakyat sedang menderita dan amat memerlukan bantuan kerajaan untuk terus bertahan.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan, berkata kenyataan itu ialah petanda awal perdana menteri baharu mempunyai kemampuan untuk mencapai persefahaman dengan pembangkang.

“Kredit juga perlu diberikan kepada pemimpin pembangkang yang menyahut gesaan Istana Negara untuk semua pihak bekerjasama. Kenyataan bersama ini menunjukkan semua parti, bermula dengan perdana menteri sendiri, memahami kepentingan buat negara dan ekonomi yang kemelut politik tidak boleh berlarutan lagi.

“Saya berharap ini akan mewujudkan satu tempoh kestabilan dan kerjasama yang akan memudahkan campur tangan dasar berani yang diperlukan. Ia baik untuk pelabur serta rakyat.”

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah bersetuju pertemuan itu adalah langkah positif dan berharap ia akan mendorong Ismail membuka semula Parlimen segera.

Katanya, banyak kerja perlu dilakukan untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi ketika ini, contohnya memperkenalkan subsidi kepada individu hilang pekerjaan, mempercepatkan program vaksinasi untuk pendatang asing dan pembaharuan institusi.

“Kita sudah membazir cukup banyak masa yang berharga,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan pembangkang yang mendapati perkembangan itu melucukan.

Syahredzan Johan, setiausaha politik kepada veteran DAP Lim Kit Siang memuat naik gambar Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bersama perdana menteri dengan komen sarkastik mengenai penolakan Umno untuk tempoh lama.

“No Anwar, No DAP” tulisnya dalam catatan itu yang disusuli emoji ketawa. Ahli Parlimen Segambut, Hannah Teoh dari DAP turut berkongsi tweet itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.