Segera jemput parti pembangkang sertai gabungan, gesa wakil rakyat PH

Segera jemput parti pembangkang sertai gabungan, gesa wakil rakyat PH

Langkah itu amat bertepatan dengan hasrat dan pendirian PH untuk membina kerjasama dalam kalangan parti pembangkang mengikut kerangka ‘khemah besar’, kata mereka.

(Dari kiri) Maria Chin Abdullah, Hannah Yeoh dan Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu berkata, jumlah sokongan 105 Ahli Parlimen pembangkang yang dibuktikan ketika mencalonkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tidak mencukupi.
PETALING JAYA:
Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) menggesa gabungan tersebut secara rasmi menjemput parti pembangkang lain untuk menyertainya.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Ketua Wanita Amanah Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu dalam kenyataan berkata, jumlah sokongan 105 Ahli Parlimen pembangkang yang dibuktikan ketika mencalonkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, walaupun tidak mencukupi untuk menjadikannya perdana menteri, perlu dikekalkan dan diperkemas dalam bentuk persefahaman lebih formal menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Mereka berkata, langkah itu juga amat bertepatan dengan hasrat dan pendirian yang dinyatakan PH untuk membina kerjasama dalam kalangan parti pembangkang mengikut kerangka “khemah besar”.

“Kebersamaan ini perlu diikat kemas supaya sokongan padu dan kekuatan angka 105 ini dapat menyakinkan rakyat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bahawa PH merupakan pilihan paling tepat untuk memimpin Malaysia,” kata mereka.

Parti yang menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Warisan, MUDA, Pejuang, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 18 Ogos, Anwar Ibrahim memperoleh 105 sokongan daripada parti pembangkang manakala Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob mendapat 114 sokongan, iaitu sokongan majoriti yang mengangkatnya menjadi perdana menteri ke-9.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.