
Video tular itu menunjukkan seorang bapa berbangsa Melayu memperincikan masyarakat India dan Cina dengan istilah kasar dan membuat tanggapan stereotaip bahawa mereka adalah samseng dan pemandu mabuk.
Dalam video berdurasi kira-kira seminit dihasilkan oleh Ikram untuk Merdeka itu, seorang bapa dilihat duduk di kerusi melihat video pada telefon bimbitnya sementara anaknya melakukan kerja rumah di meja berhampiran dan ibunya membersihkan meja di belakang.
Sambil meneliti beberapa video di telefonnya, si ayah bertanya kepada dirinya sendiri: “Apalah masalah dengan India k****g ni? Suka sangat bergaduh. Apa nak jadi dengan Malaysia?
“Orang Cina ni pun satu, Cina b***t ni, dah la mabuk langgar orang merata-rata. Apalah nak jadi ni?
Isterinya bagaimanapun segera memberikan nasihat kepada suaminya dengan mengatakan “Islam tidak mengajar untuk bercakap perkara seperti itu”.
Adegan seterusnya menunjukkan anak lelaki itu meluru ke arah ibu sambil memberitahu bahawa dia telah menyelesaikan kerja rumahnya, yang merupakan gambar Melayu, Cina dan India – dengan bendera Malaysia di latar belakang.
Walaupun pada mulanya dia memuji lukisan itu bagus, dia kemudian terkejut apabila mendapati anaknya menulis kata-kata “Dia k****g” dan “Dia suka gangster” di bawah watak India bernama Mutu, dan kata-kata “Dia Cina b *** t” dan “Dia suka mabuk” di bawah watak Cina bernama Chong.
Di akhir video itu, budak lelaki itu mengatakan: “Saya tidak dilahirkan dengan sikap perkauman, tetapi saya diajar”.
Video diakhiri dengan tanda pagar #MerdekaBersama dan Selamat Hari Merdeka.
Sepanjang video, penafian pada bahagian atas skrin mengatakan “Perkataan rasis dalam video bertujuan untuk lakonan semata-mata dan tidak patut diamalkan sama sekali”.
Naib Presiden Ikram, Shahrul Aman Mohd Shaari ketika dihubungi FMT bagaimanapun enggan mengulas.
“Kami akan mengeluarkan kenyataan kemudian,” katanya.

Logo Ikram, TV Ikram dan akhbar Sinar Harian dipaparkan di akhir video, bagaimanapun akhbar harian berbahasa Melayu yang dimiliki oleh Kumpulan Media Karangkraf menegaskan bahawa mereka tidak memainkan peranan dalam video berkenaan.
Pengerusi kumpulan media Karangkraf, Hussamuddin Yaacub memberitahu FMT bahawa Sinar Harian “tidak berperanan sama sekali” dalam penghasilan video berkenaan dan tidak memuat naik ke platform media sosial mereka.
Hussamuddin menjelaskan bahawa Ikram mengajak Sinar Harian untuk menjadi rakan media untuk kempen Merdeka mereka, yang mereka persetujui “dalam semangat Merdeka”.
“Bagaimanapun ketika mereka menyiarkan video itu di platform mereka semalam dan meminta kami untuk kongsi video itu di laman web kami … editor kami merasakan video itu sedikit sensitif,” katanya.
“Mesejnya jelas di bahagian kedua, tetapi bahagian pertama agak kasar. Saya tidak fikir mereka mempunyai niat buruk di pihak mereka, saya rasa itu mungkin penilaian yang salah.
“Kami menghubungi mereka untuk mengatakan bahawa kami tidak akan menggunakannya dan menasihati mereka untuk menurunkan video itu di platform mereka, yang mereka telah lakukan dengan cepat.”