Hukuman penjara 13 bulan Farid Kamil diganti denda RM5,500

Hukuman penjara 13 bulan Farid Kamil diganti denda RM5,500

Farid Kamil sebelum ini dipenjara 13 bulan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis dan mengeluarkan perkataan tidak sopan di balai.

SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan hukuman penjara 13 bulan terhadap pelakon dan pengarah Farid Kamil Zahari digantikan dengan denda RM5,500 bagi kesalahan melibatkan kekerasan jenayah dan mengeluarkan perkataan tidak sopan di balai polis, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor ketika membenarkan rayuan Farid terhadap hukumannya berkata, beliau mengambil kira perayu telah membayar pampasan dalam bentuk kompaun kepada dua orang, termasuk anggota polis terbabit.

Katanya, Farid, 40, turut memohon maaf ketika perbicaraan yang menunjukkan dia menyesali perbuatannya.

Nurulhuda kemudian menggantikan hukuman penjara 13 bulan bagi kesalahan melibatkan kekerasan jenayah kepada denda RM5,000, manakala hukuman penjara empat bulan kerana mengeluarkan tidak sopan digantikan dengan denda RM500.

Farid yang diwakili peguam Kee Wei Lon dan Low Wei Loke membayar denda itu.

Pada 2 Jun tahun lalu, majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhi hukuman penjara selepas mendapati Farid bersalah atas kedua-dua tuduhan.

Dua hukuman itu diarahkan berjalan serentak bererti dia hanya perlu menjalani 13 bulan penjara. Bagaimanapun Farid dibenarkan jaminan RM10,000 sementara menunggu keputusan rayuan.

Majistret itu turut mengarahkan Farid membayar kos pendakwaan berjumlah RM5,000, yang dijelaskannya.

Farid didakwa melakukan dua kesalahan itu terhadap Muhammad Nizam Jamaluddin di Balai Polis Kota Damansara pada jam 1.20 petang, 11 Januari 2018.

Dia turut didakwa menyebabkan kecederaan kepada Nizam dan seorang awam, Asyraf Ahmad di tempat dan waktu sama.

Dia bagaimanapun membayar kompaun RM5,000 kepada Nizam dan RM8,000 kepada Asyraf seperti dibenarkan mengikut peruntukan Seksyen 260 Kanun Prosedur Jenayah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ho Kwon Chin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.