Guna identiti orang lain daftar vaksin Covid-19, 4 individu ditahan

Guna identiti orang lain daftar vaksin Covid-19, 4 individu ditahan

Tiga wanita warga asing, satu lelaki tempatan disiasat kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan identiti individu bagi pendaftaran vaksin Covid-19.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka E Sundra Rajan berkata suspek berusia 35 hingga 40 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan, minggu lalu.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing ditahan kerana dipercayai menggunakan identiti orang lain bagi pendaftaran vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera di Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka E Sundra Rajan berkata suspek berusia 35 hingga 40 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Bandar Hilir di sini antara jam 2.30 petang hingga 7.30 malam pada Rabu lepas.

Menurutnya, tangkapan pertama melibatkan wanita warga asing berusia 30 tahun yang cuba mendapatkan dos kedua vaksin Covid-19 di sebuah klinik di Bandar Hilir kira-kira 2.30 petang.

“Semakan yang dilakukan ke atas aplikasi MySejahtera yang digunakan suspek mendapati maklumat identiti yang didaftarkan di aplikasi itu adalah milik individu lain.

“Polis turut merampas kad vaksin atas nama suspek, i-kad warga asing yang dipercayai palsu, salinan pasport yang telah tamat tempoh dan telefon bimbit yang digunakan suspek,” katanya dalam kenyataan.

Susulan itu, dua lagi wanita warga asing dan seorang lelaki tempatan berusia 35 hingga 40 tahun ditahan di sebuah rumah di Bandar Hilir kira-kira 7 malam sama.

Katanya semua suspek disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kemungkinan terlibat dalam sindiket penipuan menggunakan identiti individu lain bagi pendaftaran vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Mereka direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan, katanya.

Selain itu, tiga wanita terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

Sementara itu, katanya, pihaknya setakat ini telah menerima dua laporan polis berkaitan maklumat pengenalan diri warga tempatan digunakan individu warga asing bagi tujuan pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

“Pihak polis memandang serius segala aktiviti penyalahgunaan identiti individu lain dalam MySejahtera bagi tujuan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.