
Dalam kenyataan hari ini, CITF berkata perkhidmatan yang diberikan doktor swasta dalam PICK amat dihargai, malah telah menyumbang kepada pencapaian negara mencatatkan kadar vaksinasi harian per kapita antara terpantas di dunia.
“Dakwaan yang menyatakan penglibatan GP (doktor swasta) akan dihentikan adalah tidak tepat.
“Sebaliknya, penglibatan GP pada masa hadapan akan dipertimbangkan dalam menjamin kesinambungan kepada PICK kerana tiada lagi PPV (pusat pemberian vaksin) akan beroperasi ketika itu,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu susulan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Subramaniam Muniandy semalam yang bingung CITF tiba-tiba memutuskan untuk menghentikan janji temu vaksinasi di 741 klinik swasta, hospital swasta dan klinik bergerak di Selangor.
Beliau menggesa CITF menggalakkan lebih banyak penyertaan klinik swasta dalam PICK dan kerajaan sepatutnya melibatkan 8,000 doktor swasta di seluruh negara untuk langkah terakhir vaksinasi negara.
Hari ini, CITF berkata, 107.7% daripada populasi dewasa di Lembah Klang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 setakat semalam dan jumlah itu turut mengambil kira vaksinasi kepada penduduk tanpa dokumen serta bukan pemastautin.
Selepas Operasi Lonjakan Kapasiti selesai 1 Ogos lalu, CITF berkata, tiada keperluan untuk PPV yang banyak di Lembah Klang yang turut merangkumi klinik swasta.
Katanya, setakat hari ini, 12 PPV ditutup di Lembah Klang dan 21 lagi akan ditutup antara 23 hingga 29 Ogos ini.
Daripada 32 PPV yang ditutup, tujuh adalah PPV awam, katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, CITF sepatutnya berunding dengan pegawai kesihatan awam sebelum memutuskan sama ada perkhidmatan PPV patut ditamatkan.
Beliau tidak bersetuju dengan penilaian CITF mengenai jumlah orang dewasa yang telah menerima dos pertama kerana statistik lapangan di Klang ialah hampir 65%.
“Saya tidak fikir rundingan diadakan…dan keputusan dibuat orang dalam bilik berhawa dingin. Masih ramai yang belum divaksin, jadi janganlah melakukan kesilapan yang akan dikesali kemudian.”