Naik caj konsultasi GP sekurang-kurangnya RM60, kata MMA

Naik caj konsultasi GP sekurang-kurangnya RM60, kata MMA

Persatuan Perubatan Malaysia menyambut baik semakan bayaran oleh kerajaan itu dan mencadangkan pelarasan 10% setiap tiga tahun.

Persatuan Perubatan Malaysia berkata doktor swasta sudah lama bergelut dengan kos operasi yang tinggi, termasuk sewa premis, gaji kakitangan, peralatan perubatan serta kos ubat-ubatan. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan menaikkan kadar bayaran rundingan bagi pengamal perubatan am (GP) swasta kepada sekurang-kurangnya RM60, selaras dengan semakan yang sedang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Presidennya Dr Kalwinder Singh Khaira, berkata pihaknya menyambut baik kajian semula kadar bayaran tersebut di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (PHFSA 1998), sambil menambah bahawa MMA telah lama menggesa perkara ini.

“Kami percaya kenaikan kepada minimum RM60 adalah jumlah yang sesuai dan adil, manakala had maksimum boleh ditentukan berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara dan Jabatan Perangkaan.

“Kami merasakan ini wajar memandangkan bayaran konsultasi yang ditetapkan sebelum ini dari RM10 hingga RM35 tidak berubah sejak lebih 33 tahun, meskipun kos operasi dan inflasi meningkat.

“Juga penting pada masa hadapan untuk menetapkan pelarasan berkala sebanyak 10% setiap tiga tahun bagi memastikan kadar bayaran ini kekal selaras dengan inflasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Kalwinder berkata GP swasta telah lama bergelut dengan kos operasi yang tinggi, termasuk sewa premis, gaji kakitangan, peralatan perubatan serta kos ubat-ubatan.

Katanya, banyak klinik terpaksa ditutup kerana tidak mampu menampung kos yang semakin meningkat.

“Kami berharap jumlah yang akan diumumkan oleh kerajaan nanti, dengan mengambil kira faktor seperti kos sara hidup dan pandangan masyarakat, adalah adil kepada GP dan situasi mereka pada masa ini,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengumumkan bahawa kadar baharu bagi bayaran konsultasi GP swasta akan diumumkan sebelum bulan Mei.

Beliau berkata, KKM telah mendapat kelulusan daripada Perdana Menteri serta Majlis Tindakan Kos Sara Hidup bagi menyemak semula kadar bayaran tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.