Jawab isu harga ubat dengan data, kajian, kumpulan GP diberitahu

Jawab isu harga ubat dengan data, kajian, kumpulan GP diberitahu

Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia berkata kebimbangan mengenai isu itu harus disampaikan dengan telus.

Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia berkata dasar mewajibkan paparan harga ubat bukan dapat membantu mengurangkan risiko manipulasi harga dan ketidaktelusan dalam kos rawatan.
PETALING JAYA:
Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) menyeru kumpulan pengamal perubatan am (GP) yang membantah dasar mewajibkan paparan harga ubat untuk menjawab isu itu berasaskan data dan kajian.

Exco MACFEA, Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata sebarang kebimbangan mengenai implikasi pendedahan harga ubat sama ada model perniagaan mahupun perbezaan formulasi ubat harus disampaikan dengan telus bagi meyakinkan semua pihak.

Katanya, langkah tersebut bertujuan memperkukuh kedudukan organisasi itu dalam wacana dasar kesihatan negara serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem perubatan swasta di Malaysia.

“Sebagai barisan hadapan dalam sistem penjagaan kesihatan negara, GP seharusnya menjawab isu sebegini dengan pendekatan berdasarkan fakta, kajian, dan penjelasan saintifik.

“Kegagalan memberikan jawapan yang berasas hanya akan menimbulkan persepsi bahawa ada sesuatu yang ingin disembunyikan, sekali gus menjejaskan keyakinan awam terhadap profesion perubatan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, dasar mewajibkan paparan harga ubat bukan sahaja dapat membantu pengguna membuat pilihan yang lebih bermaklumat, tetapi juga mengurangkan risiko manipulasi harga dan ketidaktelusan dalam kos rawatan.

“Kami percaya pengamal perubatan profesional mampu tampil dengan hujah yang bernas dan beretika bukan hanya untuk mempertahankan kepentingan komuniti perubatan swasta saja,” katanya.

Kementerian Kesihatan (KKM) semalam mengumumkan akan meneruskan langkah mewajibkan pemaparan harga ubat di pusat perubatan am yang berkuat kuasa hari ini – langkah yang dibantah Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan beberapa kumpulan perubatan lain.

Mereka berpendapat peraturan itu sepatutnya dikuat kuasa di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 dan bukannya Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011.

Presiden MMA, Dr Kalwinder Singh Khaira turut membidas keputusan itu dan berkata KKM sepatutnya terlebih dahulu menyelesaikan isu lama yang berlarutan, khususnya berkaitan yuran GP.

Seksyen pengamal perubatan am MMA juga merancang untuk berarak dari bangunan KKM ke Pejabat Perdana Menteri pada Selasa ini sebagai membantah dasar tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.