Sektor perniagaan kembali lega, tapi banyak lagi diperlukan, kata penganalisis

Sektor perniagaan kembali lega, tapi banyak lagi diperlukan, kata penganalisis

Kerajaan perlu melaksanakan lebih banyak dasar bagi merangsang semula ekonomi selepas memberi kebenaran operasi kepada sektor perniagaan, kata penganalisis.

Kebenaran beroperasi untuk restoran dan kedai memberi nafas lega kepada peniaga tetapi sektor hiburan dan pelancongan mungkin akan bergelut seketika. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Langkah terbaru yang membuka semula ekonomi sepatutnya memberi khabar gembira untuk sektor perniagaan tetapi ia tidak mungkin memulihkan semula keadaan melainkan lebih banyak dasar diwujudkan untuk merangsang ekonomi.

Sejak minggu lalu, kerajaan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi membolehkan perniagaan seperti kedai makan dan pakaian dibuka kepada pelanggan yang menerima suntikan dos lengkap bagi negeri Fasa 1.

Ahli ekonomi, Carmelo Ferlito yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran, berkata dia tidak menafikan bahawa kelonggaran yang diberikan itu akan membantu perniagaan kembali di atas landasan semula selepas ditutup seketika.

“Saya merasakan kedai makan dan kedai pakaian akan menerima lebih banyak faedah daripada langkah terbaru ini,” katanya.

“Bagaimanapun, sektor hiburan dan pelancongan mungkin bergelut seketika.”

Dia berkata dasar kini perlu berubah ke hadapan dalam memastikan perniagaan terus dibuka dan membolehkan negara kembali berfungsi biarpun dalam keadaan penularan virus yang masih berlaku, bagi memastikan banyak kehidupan dapat diselamatkan akibat sekatan penuh.

“SOP yang baik dan stabil harus dilaksanakan termasuk mewajibkan ujian dilakukan di premis perniagaan dan sekolah serta membuat pelaburan serius dalam sistem penjagaan kesihatan. Kita perlu mencegah daripada berlakunya gelombang kes seterusnya yang boleh menyebabkan hospital lumpuh. Jika berlaku, ia adalah silap kita.”

Dia berkata Malaysia boleh menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 2% di rantau ini sekiranya kebanyakan perniagaan kekal beroperasi sehingga akhir tahun.

Shaun Edward Cheah, pengarah eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia, berkata semua jenis perniagaan perlu dibenarkan beroperasi secara normal dengan syarat, semua pekerja diberi vaksin.

“Sektor pembuatan adalah enjin ekonomi kita tetapi apa yang dilihat masih kurang ialah rantaian bekalan kepada sektor ini,” katanya.

“Ia masih tidak jelas sama ada perkhidmatan profesional seperti kejuruteraan penyelenggaraan boleh beroperasi semula.”

Menurutnya, perniagaan yang telah dibuka semula juga akan bergelut untuk pulih secara berkesan apabila rantaian bekalan mereka terjejas.

Katanya, kerajaan perlu melaksanakan dasar untuk memanfaatkan kenaikan permintaan di kalangan pengguna sebaik sahaja ekonomi dibuka sepenuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.