
PETALING JAYA: Usaha menyelamatkan dua pekerja yang terperangkap di dalam lurang berakhir tragedi selepas mereka ditemui maut dipercayai akibat menghidu gas toksik.
Jurucakap bomba berkata, pekerja berkenaan kedua-duanya warga India yang dikenal pasti sebagai Kesavan Matarasan, 30, dan Sailu Makkala, 40.
Mayat Kesavan dikeluarkan dari lurang itu pada jam 4.30 petang manakala rakannya pula 30 minit kemudian.
Dua mangsa itu antara sekumpulan pekerja yang bekerja di kawasan berhampiran sebuah hospital baharu di Cyberjaya.
Pasukan bomba dan penyelamat tiba di kawasan itu 11 minit selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 2 petang, dengan anggota hazmat turut membantu usaha menyelamat.