
Mohd Norwin Md Yusof Satar berkata, pengumuman mengejut itu juga agak mendukacitakan kerana beliau tidak membuat sebarang persiapan untuk memulakan operasi.
“Pengumuman semalam memang agak mengejut. Semalam umum hari ini dah boleh buka. Kenapa perlu begitu tergesa-gesa? Sepatutnya beritahu tiga atau empat hari sebelum, jadi kita boleh buat persiapan,” katanya kepada FMT.
Norwin berkata, walaupun bimbang dengan penularan varian yang semakin ganas ketika ini, perniagaannya yang sudah ditutup hampir empat bulan itu perlu dibuka untuk kembali bernafas.

“Walaupun kita takut, tapi terpaksa juga buka kerana simpanan saya semua sudah licin untuk tampung kos operasi kolam dan membayar gaji pekerja ,” katanya yang kerugian lebih RM200,000 sebulan sejak premis kolam memancing tidak dibenarkan beroperasi Mei lalu.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya masih menunggu SOP terkini dari Majlis Keselamatan Negara berkenaan operasi kolam memancing dan jika semua kerja-kerja teknikal membabitkan kemasukan ikan dan pembersihan kolam selesai, pihaknya menjangkakan akan memulakan operasi pada Selasa depan.
“Kerajaan umum tapi tak maklum lagi SOP, jadi kita kena tunggu ‘greenlight’ dari mereka baru boleh beroperasi,” kata pemilik kolam dengan keluasan lima ekar itu.
Seorang lagi pemilik sebuah kolam pancing di Putrajaya, Amru Najmi berkata pengumuman mengejut itu diterima dengan penuh lega kerana sudah “tidak mampu bertahan” dengan kos operasi kolam yang tinggi walaupun tidak beroperasi.
“Bila dapat tahu semalam, saya rasa lega sangat… rasa nak menangis pun ada. Banyak kolam ikan milik oleh orang Melayu, jadi bila tiada pendapatan, kita memang terduduk teruk,” katanya yang kerugian antara RM3,000 hingga RM6,000 sehari ketika tidak beroperasi.
Bagaimanapun, beliau berkata premisnya masih tidak boleh dibuka kerana perlu melakukan kerja-kerja pemotongan rumput dan membaiki sistem saluran yang bermasalah.
“Kita jangka boleh mulakan operasi pada Rabu selepas masalah teknikal yang kita hadapi ketika ini dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya.
Sebagai komitmen premis berkenaan dalam mematuhi SOP yang ditetapkan, beliau berkata, semua petugas sudah pun lengkap divaksinasi untuk memulakan operasi.
Semalam, Perdana Menteri sementara Muhyiddin Yassin mengumumkan lebih banyak kelonggaran diberikan kepada sektor sosial dan ekonomi di negeri Fasa 1 PPN termasuk aktiviti memancing dan makan di kedai bagi individu lengkap divaksin bermula hari ini.
Kelonggaran itu diberikan selepas lebih 50% daripada populasi dewasa negara mencatatkan sudah menerima vaksinasi lengkap.