Pengasas Rumah Bonda mengaku tak salah abai kanak-kanak OKU

Pengasas Rumah Bonda mengaku tak salah abai kanak-kanak OKU

Siti Bainun Ahd Razali didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak itu telah mengabaikan mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Siti Bainun Ahd Razali dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun tahun ini.
KUALA LUMPUR:
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang tular sebelum ini.

Siti Bainun, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak itu telah mengabaikan mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun tahun ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan kediaman.

“Kes ini adalah kes kepentingan awam dan mendapat perhatian media. Pihak kerajaan juga memandang serius terhadap kes pengabaian kanak-kanak. Mangsa dalam kes ini adalah orang kurang upaya (OKU), sindrom down,” katanya yang mengendalikan kes itu bersama Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar.

Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis selain berjanji akan hadir ke mahkamah sepanjang prosiding kes kerana mahu membersihkan namanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan.

“Semua syarat yang ditetapkan perlu dipatuhi oleh tertuduh kerana membabitkan mangsa kanak-kanak, jika syarat ini gagal dipatuhi jaminan akan dibatalkan,” katanya yang kemudian menetapkan 4 Oktober untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.