Ubah dasar untuk jadikan rumah mampu dimiliki, kata pakar

Ubah dasar untuk jadikan rumah mampu dimiliki, kata pakar

Menganggap rumah sebagai aset, bukan keperluan, meminggirkan mereka yang tidak mampu atau tidak mahu membeli, kata penyelidik.

Semasa wabak Covid-19, dengan pengangguran dan potongan gaji pada tahap rekod, ketiadaan perumahan mampu milik menjadi lebih jelas, kata seorang penyelidik RESDA.
PETALING JAYA:
Seorang penyelidik menggambarkan dasar perumahan negara ini sebagai terperangkap dalam “krisis identiti” yang boleh dihapuskan jika pembuat dasar dapat membuat keputusan sama ada rumah adalah aset atau keperluan.

Bercakap dengan FMT, Lillian Wee dari badan pemikir Research for Social Advancement (REFSA) berkata, kerajaan dalam tindakan memberi keutamaan kepada mereka yang mampu membeli hartanah telah meminggirkan mereka yang tidak mampu atau tidak mahu membeli, dan ini mewujudkan peluang tidak setara.

Tidak banyak perhatian diberikan kepada pasaran sewa yang terus berkembang, katanya sambil menambah, ini adalah salah satu masalah yang menjadi buruk sejak wabak Covid-19 mula melanda.

“Banyak dasar kerajaan semasa dan sebelum wabak mengutamakan pemilikan rumah dan golongan yang mampu membayar pinjaman atau memiliki banyak rumah,” katanya.

“Justeru, mereka yang tidak mampu membuat pinjaman atau membayar deposit yang tinggi ketinggalan. Ini termasuk mereka yang memilih untuk menyewa atas dasar kerja, pergerakan mahupun gaya hidup.

“Tiada bantuan bagi mereka untuk membuat pajakan atas rumah mampu milik, dan semasa wabak, tidak banyak yang dilakukan untuk membantu mereka dengan bayaran.

Katanya, perumahan mesti dilihat sebagai keperluan, maka ia perlu dijadikan mampu milik dan dapat diakses oleh mereka yang memerlukannya.

“Malaysia sedang mengalami urbanisasi dengan kadar yang cepat, dengan orang berpindah dari kawasan luar dan pinggir bandar ke tempat-tempat seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Bagaimanapun, di tempat-tempat ini, harga perumahan paling tinggi dan ketidaksetaraan perumahan berada pada tahap paling teruk.

“Menjadi satu masalah jika individu M40 tidak mampu membeli atau menyewa rumah di Kuala Lumpur, kerana bukan golongan T20 sahaja bekerja di sana.

Ini dibuktikan dengan pembinaan 14,094 rumah kos rendah tahun lalu, jauh daripada sasaran Majlis Perumahan Mampu Milik Negara sebanyak 100,000 unit setiap tahun,” katanya.

“Sebaliknya, kita melihat lonjakan rumah yang berharga lebih RM600,000, di luar jangkauan kebanyakan orang yang seharusnya dijaga kerajaan,” tambahnya.

Semasa wabak, dengan pengangguran dan potongan gaji pada tahap rekod, ketiadaan perumahan mampu milik menjadi lebih jelas.

Wee berkata, negara perlu meningkatkan bekalan rumah mampu milik dengan menawarkan insentif kepada pemaju untuk melabur semula keuntungan mereka untuk membiayainya.

Tambahnya, penyewa harus mendapat lebih banyak perlindungan dan beliau menyeru agar langkah-langkah diambil untuk mengimbangi kuasa undang-undang antara tuan rumah dan penyewa, yang pada masa ini lebih berpihak kepada tuan rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.