
Annuar berkata, kejadian itu berlaku ketika beliau sedang berjoging dan “morning walk” dan secara kebetulan melalui gerai yang ada di sekitar.
“Semasa ‘morning walk’ pagi tadi, saya melalui beberapa peniaga tepi jalan, ada pulak yang komen kononnya tak pakai ‘mask’.
“Sememangnya bila riadah ‘outdoor’, ‘jogging’, ‘brisk walk’, ‘cycling’, main bola dan lain-lain dinasihatkan tidak mengenakan ‘mask’ (pelitup muka),” kata Ahli Parlimen Ketereh itu di Facebook.
Terdahulu, pengguna media sosial menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Annuar kerana tidak memakai pelitup muka ketika singgah membeli makanan di sebuah gerai di ibu kota.
Dalam ciapan Annuar di Twitter, beliau memuat naik gambarnya berdiri di sebuah gerai dengan memegang makanan, sambil diperhatikan peniaga.
Tindakan Annuar tidak memakai pelitup muka mengundang kecaman warganet yang percaya beliau tidak menunjukkan contoh terbaik kepada rakyat.
Annuar sebelum ini beberapa kali terpalit dengan kontroversi pelanggaran SOP dan turut dikompaun.