Pempengaruh: ‘Wali qutub’ di media sosial

Pempengaruh: ‘Wali qutub’ di media sosial

Media sosial ibarat sebuah dunia dihuni netizen yang mempunyai pemimpin membawa utusan.

ronasina

Ini zaman media sosial. Media sosial ibarat sebuah dunia yang dihuni oleh makhluk bergelar netizen. Setiap dunia pasti ada pemimpin yang akan membawa utusan, ajaran ataupun idea. Melihatkan ini sebuah peluang, maka timbullah keinginan warga-warga di dalam dunia tersebut yang berasa dirinya mempunyai kelebihan; ingin menjadi ‘seseorang’. Seseorang yang dikenali dan berpengaruh. Lalu mereka pun muncul menonjolkan diri di skrin dengan membawa bermacam-macam idea serta gaya untuk menarik orang ramai.

Antara ideanya ialah mereka mentauliahkan diri mereka sendiri menjadi pakar nasihat yang membawa kompas petunjuk arah hidup. Kerana gaya mereka mempesona, dari situ datanglah pengikut (follower) yang sedar tak sedar telah mengangkat pempengaruh atau influencer ini menjadi ‘wali’ yang akan ditaati. Nak cakap ‘nabi’ nanti melampau pula padahal hampir seperti itu. Jadi, wali cukuplah. Warganet ini apabila nampak ‘wahyu’ turun di notifikasi, mereka pun mengadap skrin untuk mendengar sabda-sabda wali mereka.

Ada yang berjoget 15 saat, ada yang berkongsi tip kebahagiaan rumahtangga meskipun dirinya sendiri masih belum pernah bersalam dengan jurunikah, ada yang bersyarah tentang kemanusiaan dan ada juga yang jual motivasi walaupun kedengaran terketar-ketar bercakap mengikut skrip. Itu pun mereka ada pengikut tersendiri yang setia mematuhi.

Kalau ada isu hangat, pempengaruh ini akan buka ‘kertas siasatan’ dan bentangkan teori mereka kepada para pengikut. Para pengikut pun percaya dan pegang sabda-sabda mereka. Jangan tak percaya pempengaruh ini mampu mempunyai ribuan pengikut. Ini mampu mengatasi beberapa Nabi sendiri yang menurut sirah tidak mempunyai pengikut seramai itu. Malah, Nabi Sami’un dinyatakan hanya berjalan seorang diri di akhirat nanti kerana tiada pengikut.

Waduh! Yang lebih takjub lagi pengikut para pempengaruh ini cukup taat, taasub dan sentiasa bersedia untuk pertahankan ‘wali’ mereka jika kita kritik seolah-olah pempengaruh ini maksum tiada dosa. Dek kerana inilah ramai teringin menjadi ‘influencer’ sebab akan mempunyai pengikut yang sentiasa mengangguk sami’na wa ata’na.

Untuk menjadi pempengaruh, apakah bebelan mesti ada isi? Tak penting. Yang penting gaya, keyakinan, dan konsistensi menghadap kamera. Apa saja isu mesti pantas diambil kesempatan untuk diulas dan dikupas. Ternyata pempengaruh adalah satu kerjaya baharu yang sangat diminati untuk diceburi oleh ramai orang sebab ia adalah jalan singkat untuk menjadi popular. Ya, menjadi popular dengan menjual ‘konten’. Apa sahaja nak cakap, cakaplah janji orang dengar dan suka.

Dunia semakin pelik. Dulu, manusia berlumba-lumba menuntut ilmu. Masyarakat hormat pada orang yang membaca, mengkaji, dan berfikir. Hari ini terbalik, ramai pula berlumba-lumba nak mengajar orang. Sebab apa? Sebab boleh buat untung. Kalau dulu orang gigih belajar bertahun-tahun untuk jadi doktor, hari ini ada “doktor TikTok” yang cukup sekadar bercakap yakin di depan telefon pintar. Apa yang menjadikan mereka laku bukanlah kebenaran, tetapi permintaan.

Jika ada orang minat mendengar, maka adalah pasarannya. Bukan tak ada yang mempunyai niat baik memberi tunjuk ajar di medsos berdasarkan ilmu dan pengalaman mereka. Jangan silap. Ini bagus. Yang tak bagusnya yang itulah…. yang beri pandangan mengarut semata-mata untuk meraih pengikut dan laba. Tetapi, ia berbalik semula kepada majoriti masyarakat kita sendiri juga.

Macam kata orang dulu-dulu: dalam masyarakat orang buta, yang mata satulah akan diangkat jadi raja. Maknanya, seseorang yang dilihat punya kelebihan sedikit berbanding yang lain, dialah kita patut dengar. Bezanya, hari ini orang bermata satu itu bukanlah bijak pandai, tetapi mereka cekap main ‘ring light’, tahu ‘timing posting’ dan pandai cipta drama. Dari situlah ia boleh jadi sumber rezeki. Dengan menjadikan algoritma sebagai ‘kenderaan’, para pempengaruh ini akan cari makan dengan sebuah posting yang viral. Dahsyat, bukan?

Mengapa pempengaruh boleh dipuja seperti mereka ini wali? Sama ada sedar atau tidak, ini psikologi yang dimainkan. Media sosial mencipta hubungan dua hala secara langsung. Para pengikut yang menjadi target pempengaruh ini berasa diri mereka amat dekat dengan pempengaruh tersebut. Apabila ditanya, terus dijawab secara ‘live!’ Bila mereka menegur pempengaruh dalam ‘live video’ dan pempengaruh jawab salam dengan menyebut nama mereka, maknanya pempengaruh beri perhatian kepada mereka dan mengesahkan kewujudan mereka. Mereka pun seronok.

Pempengaruh pula buat ‘live’ sambil makan nasi lemak. Apa lagi, “Eh, dia macam akulah, makan nasi lemak juga. Sempoilah dia ni.” Padahal itu semua mainan untuk beri ilusi. Sapaan, senyuman dan ketawa mesra itu dibuat supaya pempengaruh kelihatan “accessible”. Pengikut kagum dan percaya bulat-bulat.

Macam saya katakan awal tadi, pempengaruh ini tahu siapa target mereka dan mereka pun tahu bukan semua orang kagumi mereka. Ia bukan tentang bijak atau ilmu. Ia tentang pemasaran diri sendiri. Tahu pilih sudut kamera, tahu buat muka simpati, tahu cakap manis. Yang penting, keyakinan tahap tinggi dalam mengejar target.

Cuma kesan negatif kepada masyarakat pasti ada. Ada golongan yang lebih percaya kepada pempengaruh tentang sesuatu ubat berbanding daripada pakar perubatan. Ada golongan lebih gemar dengar selebriti TikTok bercerita pasal geopolitik dunia daripada membaca analisis akademik yang lengkap fakta kajiannya. Itu antara kesannya bagi warga yang malas mengaji dan mencari ilmu. Mereka menunggu maklumat dan wahyu dari pempengaruh yang mereka letakkan kepercayaan ini. Lalu hari ini, ilmu telah tewas kepada ‘trending’ dan fakta pula kalah pada ‘content’.

Dari segi kebertanggungjawaban pula, ‘content creator’ ini telah mengajar sebuah kerja tak elok – misalnya mengambil video pihak lain, menyuntingnya dan menyiarkan kembali seolah itu hasil mereka. Di sini telah berlaku kecurian dan manipulasi. Mengambil hak orang lain tanpa kebenaran untuk memperoleh keuntungan sendiri adalah mencuri. Cetak rompak zaman baru, namanya. Ini tidak ‘cool’. Netizen nampaknya telah menerima budaya ini tanpa ada rasa insaf. Lama-kelamaan ia menjadi budaya yang diterima semua. Kata orang sekarang, normalisasi.

Kalau inilah trend zaman ini, jangan hairan jika satu hari nanti anak cucu kita tak kenal lagi nama ilmuwan dan tak peduli lagi siapa negarawan. Yang mereka hafal hanyalah siapa paling ‘trending’ minggu lepas.

Atas sebab ketaasuban warga medsos dengan pempengaruh yang diangkat seperti wali inilah telah wujud slogan di kalangan netizen di media sosial ‘stop making stupid people famous’ atau ‘berhentilah memasyhurkan orang bodoh’. Kerana ada sesetengahnya kelihatan melampau sangat mengarutnya. Cuma persoalan peribadi yang membuat saya sering bertanya kepada diri sendiri ialah: apakah aku atau generasi zaman aku yang sebenarnya sudah tidak selari lagi dengan zaman yang kita sangkakan semakin parah ini sedangkan generasi hari ini berasakan ini semua normal, tak ada apa pun silapnya. ‘Kau’ rasa bagaimana?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.