Bukannya keadaan selamat, faktor ekonomi penyebab banyak kawasan dibuka, kata Noor Hisham

Bukannya keadaan selamat, faktor ekonomi penyebab banyak kawasan dibuka, kata Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai berhati-hati, elak tempat sesak dan sempit dan pakai pelitup muka berganda.

MKN membenarkan makan dalam kedai bagi individu yang lengkap divaksin, bermula esok.
PETALING JAYA:
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah memberi peringatan banyak tempat dibuka bukan atas faktor keselamatan yang semakin baik, sebaliknya didorong faktor ekonomi.

Katanya, orang awam diminta kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang sedang berkuat kuasa susulan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi.

Dalam kenyataan di Twitter, Hisham meminta orang awam mengelak tempat sesak dan sempit, termasuk mendapatkan vaksinasi secepat mungkin.

“Satu peringatan kepada semua, banyak tempat dibuka disebabkan faktor ekonomi dan bukannya kerana ia selamat. Perlu diingat, tolong pakai pelitup muka, pelitup muka berganda jika boleh, amalkan penjarakan fizikal dan kerap basuh tangan. Elakkan tempat sempit dan sesak. Kekal selamat dan dapatkan vaksinasi segera,” katanya.

Hari ini, Perdana Menteri sementara Muhyiddin Yassin, berkata sehingga semalam lebih daripada 50% daripada populasi dewasa di negara ini divaksin sepenuhnya, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada sektor sosial dan ekonomi di fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterus bermula esok, termasuklah makan dalam kedai bagi individu lengkap divaksin.

Muhyiddin berkata, perkara itu diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang beliau pengerusikan, hari ini, bagi membincang dan mempertimbangkan cadangan daripada Jawatankuasa Khas Teknikal MKN, untuk memperluaskan kemudahan sektor berkenaan terutamanya bagi fasa satu PPN.

Selain itu, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) juga dibenarkan bagi negeri-negeri fasa satu dan seterusnya mulai esok, serta terpakai dalam daerah yang sama sahaja.

Pada 15 Ogos, kerajaan telah bersetuju untuk membenarkan 11 jenis aktiviti perniagaan dalam sektor perdagangan dan pengedaran untuk terus beroperasi di bawah Fasa Satu PPN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.