
Lelaki berusia 21 tahun itu dipercayai bergelut dengan isterinya sehingga mendatangkan kecederaan kepada wanita berusia 19 tahun di bahagian lengan kiri dan kanan, serta lutut kiri akibat terjatuh, pada 4 pagi, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, semasa sedang berbincang urusan perbelanjaan rumah, mangsa cuba mengambil telefon bimbit suaminya, namun tidak diizinkan sebelum berlaku pergaduhan dan pergelutan.
“Mangsa cuba mengambil telefon bimbit untuk memeriksa namun suaminya menghalang sebelum berlaku pergelutan dan menyebabkan mangsa lebam pada lengan kiri dan kanan serta lutut kiri akibat terjatuh.
“Pergelutan suami isteri yang berkahwin pada Oktober tahun lalu itu akhirnya dileraikan ibu mangsa yang tinggal berhadapan rumah pengadu,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Farouk berkata, susulan laporan polis oleh mangsa, suaminya ditahan 9.30 malam tadi dan direman selama empat hari, bermula hari ini.
“Polis ingin menegaskan bahawa mengikut Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga, sebarang kesalahan berkaitan keganasan rumah tangga adalah satu kesalahan yang boleh ditangkap dan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu mendatangkan kecederaan,” katanya.
Sementara itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya turut menahan seorang lelaki berusia 28 tahun kerana mengugut membunuh ibu kandungnya berusia 54 tahun dengan gunting.
Kejadian Isnin lalu sekitar 7 malam apabila suspek yang memiliki 14 rekod jenayah lampau berada bawah pengaruh dadah.
Farouk berkata, suspek mengugut membunuh mangsa selain mendakwa wanita itu bukan ibunya dan mengeluarkan kata-kata ugutan.
“Suspek direman selama empat hari hingga 21 Ogos ini,” katanya.