Dana hospital makin kurang, kata pakar

Dana hospital makin kurang, kata pakar

Pakar kesihatan awam menggesa supaya banyak peruntukan disalurkan untuk menaiktaraf dan menambah keperluan sumber manusia serta pembelian peralatan.

Banyak hospital kerajaan terpaksa berdepan kebanjiran pesakit (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Dengan peningkatan kes Covid-19 banyak hospital berdepan situasi genting yang tidak pernah dijangkakan sebelum ini apabila wad mula sesak, koridor penuh dengan katil dan manakala pesakit ‘melimpah’ ke luar.

Lebih banyak peruntukan diperlukan untuk membantu hospital mengatasi kebanjiran pesakit itu, kata pakar.

Pakar kesihatan awam Dr Tharani Loganathan dari Universiti Malaya (UM) berkata, terdapat keperluan segera untuk menyalurkan lebih banyak peruntukan bagi menaik taraf kemudahan itu.

Katanya, hospital bukan hanya perlu meluaskan ruang fizikal tetapi menyalurkan peruntukan bagi keperluan sumber manusia dan peralatan.

Dr Tharani Loganathan.

“Hospital awam amat kekurangan dana dan sesak sejak beberapa dekad lalu. Oleh itu, ia tidak dapat menangani peningkatan mendadak kes Covid-19 yang teruk dan memerlukan kemasukan ke hospital,” katanya kepada FMT.

Tharani berkata, tenaga kerja perlu digerakkan dari beberapa negeri lain yang mempunyai bilangan kes yang rendah, malah dari sektor swasta dan hospital pengajar juga.

Beliau menggesa supaya kaedah alternatif pembiayaan kesihatan seperti insurans kesihatan sosial dapat dipertimbangkan.

Kerajaan telah memindah keluar pesakit bukan Covid-19 dari hospital kerajaan untuk memberi fokus kepada kes Covid-19 dan Tharani berkata, ia boleh membantu menguruskan kebanjiran pesakit di hospital kerajaan.

Beliau juga mencadangkan kerajaan memanfaatkan kapasiti tentera darat untuk mewujudkan hospital medan.

Dr Lee Boon Chye.

Bekas menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye menggesa supaya lebih banyak usaha dilakukan untuk mengubah suai kemudahan sedia ada kepada hospital sementara.

Katanya, idea untuk memperkenalkan insurans kesihatan sosial untuk menggantikan dana kerajaan kepada hospital tidak dapat disokong buat masa ini kerana ia memerlukan birokrasi yang berbeza dan akan meletihkan rakyat.

Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata, keadaan semasa negara tidak begitu menakutkan seperti yang berlaku di India pada Mei lalu tetapi “kita hampir menyamainya”.

Sim Tze Tzin.

Sim mengalu-alukan penambahan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) tetapi menggesa supaya kapasiti katil secara keseluruhan juga perlu ditambah selain membina hospital Covid-19 berskala besar di tanah milik kerajaan memandangkan virus ini mungkin bertahan selama beberapa tahun.

Beliau mencadangkan hospital ini dibina di pusat populasi dengan bantuan Kor Perubatan Tentera.

Katanya, Tapak Ekspo di Seberang Perai, Pulau Pinang boleh menjadi lokasi yang sesuai untuk hospital Covid-19 berskala besar kerana berdekatan dengan Hospital Seberang Perai yang kini diisytihar sebagai pusat Covid-19.

“Sudah tentu kita perlu menambah petugas untuk semua ini. Kita akan bertarung dengan Covid-19 untuk jangka masa yang lama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.