Menyamar NGO bagi bantuan, ‘Geng Merry’ samun warga emas tumpas

Menyamar NGO bagi bantuan, ‘Geng Merry’ samun warga emas tumpas

Sindiket itu menyasarkan golongan emas yang tinggal bersendirian sebagai mangsa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, mangsa kerugian RM8,000 selepas seorang suspek menyelinap masuk ke bilik tidurnya ketika seorang lagi kononnya menyerahkan sumbangan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua wanita tempatan menyamar sebagai anggota NGO kebajikan untuk menyerahkan sumbangan bantuan sebelum mencuri barangan di rumah seorang warga emas.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai, berkata pihaknya menerima laporan kes curi di kediaman seorang wanita berusia 82 tahun di PPR Intan Baiduri, Kuala Lumpur pada 2.30 petang 9 Ogos lalu.

“Semasa urusan penyerahan sumbangan dilakukan salah seorang suspek menyelinap masuk ke dalam bilik tidur mangsa. Mangsa kerugian wang tunai berjumlah RM8,000,” katanya dalam kenyataan.

Beh berkata, sindiket itu yang dikenali sebagai “Geng Merry” menyasarkan golongan warga emas yang tinggal bersendirian sebagai mangsa mereka.

Susulan itu, polis menahan kedua-dua wanita tersebut bersama seorang lagi ahli sindiket berusia 23 dan 43 tahun.

Sebanyak 17 bungkusan makanan pelbagai jenis dan empat telefon bimbit turut dirampas.

Difahamkan, suspek utama berusia 43 tahun mempunyai 12 rekod jenayah lampau, manakala seorang mempunyai tiga rekod jenayah termasuk kes pecah rumah dan mencuri.

“Ketiga-tiga suspek ditahan di IPD Sentul. Susulan operasi dijalankan polis berjaya menyelesaikan tiga kes kecurian dalam bangunan yang dilaporkan di sekitar kawasan Jinjang tahun ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.