
Menerusi satu notis pemberitahuan di Facebook, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berkata, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mestilah mencapai sekurang-kurangnya 50%.
“Penting untuk dijelaskan, kemudahan terpakai dengan syarat kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mestilah telah mencapai sekurang-kurangnya 50%.
“Individu yang ingin memanfaatkan kemudahan ini juga mestilah telah menerima vaksinasi lengkap.
“Berikutan itu, kebenaran operasi bagi 11 jenis aktiviti ekonomi berkenaan masih belum terpakai kepada Johor kerana belum mencapai kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa itu,” menurut kenyataan itu semalam.
Ahad lepas Muhyiddin Yassin mengumumkan kebenaran operasi untuk 11 jenis ekonomi di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuat kuasa semalam.
Perdana menteri sementara itu berkata, ia melibatkan kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot, kedai peralatan sukan, kedai aksesori kereta, pusat pengedaran dan jualan kereta, pasar pagi dan pasar tani sahaja, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas serta kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).
Katanya, bagi kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas, serta kedai gunting rambut dan pusat atau salun kecantikan, terdapat SOP kesihatan tambahan yang wajib dipatuhi.
Ia termasuklah memakai sarung tangan, mengehadkan masa urusan antara pekerja dan pelanggan serta tidak membenarkan penggunaan bilik persalinan.