
“Kami sudah menjangkakan kerajaan akan berubah, jadi sebahagian besarnya telah diambil kira dalam pasaran kewangan. Oleh itu, kemeruapan pasaran kewangan akan menjadi singkat dan normal,” kata Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia kepada FMT.
Katanya, agenda utama kerajaan baharu adalah mengganti anggotanya terutamanya dalam bidang perubatan yang gagal mengurus wabak Covid-19 di negara ini dan mengakibatkan krisis ekonomi semakin memburuk.
Kerajaan baharu juga harus segera memansuhkan sekatan pergerakan, iaitu langkah “penting bagi kelangsungan ekonomi”, tambahnya.
“Kita berada pada titik kritikal sekarang dengan risiko terjadinya pengecutan ekonomi yang mendalam.”
Bagaimanapun tambahnya, sudah ada perubahan positif dalam sikap terhadap langkah-langkah kesihatan awam untuk membendung Covid-19, iaitu merujuk kepada pembukaan semula pelbagai kegiatan di lebih banyak negeri dan sektor yang diumumkan baru-baru ini.
Beliau berharap ini akan berterusan agar semua sektor dan negeri akan dapat beransur-ansur dibuka semula.
“Walaupun begitu, apabila kita buka ekonomi, kita akan memerlukan sokongan berterusan bagi isi rumah dan syarikat. Bagi isi rumah, kami berpendapat, wang tunai langsung sebanyak RM1,500 untuk B40 dan M40 (patut diberi) sepanjang tahun ini. Ini akan menelan belanja sekitar RM35 bilion jika ia bermula pada September.
“Bagi syarikat, kami rasa mengikut jejak langkah Sarawak yang menawarkan geran pemulihan sebanyak RM10,000 untuk PKS (perusahaan kecil dan sederhana) sangat membantu dan akan menelan belanja kurang RM10 bilion. Langkah ini dan penerimaan kembali pelanggan akan mendorong pemulihan,” katanya.
Insentif lain seperti subsidi upah dan geran pengambilan semula pekerja juga perlu diteruskan. Selain itu, kerajaan perlu lebih fokus kepada kesejahteraan sosial, termasuk membangunkan semula dana pencen, membuat perubahan kepada pendidikan dan menyusun semula kesetaraan penjagaan kesihatan dan sosial.
Penganalisis pasaran Danny Wong melihat prospek positif bagi pasaran kerana risiko dan ketidakstabilan politik dijangka bertambah baik dan kegiatan ekonomi akan dibuka kembali sebagai hasil program vaksinasi yang meluas dan berterusan.
“Pegangan asing (saham) berada pada tahap yang sangat rendah (dan juga mata wang) dan kebanyakan berita buruk sudah diambil kira. Penilaian juga rendah dan nisbah ‘price-to-book’ (PB) dan ‘price-to-earnings’ (PE) kurang jauh daripada kemampuan,” tambahnya.
Seorang lagi penganalisis kanan, Christian Fang daripada Moody’s Investors Service, menjangkakan institusi negara dapat membataskan kesan perubahan politik terhadap dasar makroekonomi dan profil kredit seperti yang dilakukan ketika berlaku perubahan mendadak dalam politik negara sebelum ini.
Tambahnya, wabak Covid-19 masih menjadi risiko yang lebih besar bagi ekonomi dengan berkata, lonjakan kes dan sekatan pergerakan yang berterusan akan terus membebani pemulihan ekonomi tahun ini.
Katanya, sebarang rangsangan ekonomi tambahan atau hasil yang rendah, yang akan mencipta defisit fiskal lebih luas mungkin menyebabkan “kenaikan beban hutang kerajaan berterusan” yang tidak akan dapat dipulihkan oleh pihak berkuasa fiskal.
“Ini berpotensi melemahkan profil kredit Malaysia secara material,” tambahnya.