Kerajaan baharu mesti iktiraf 3 prinsip utama, kata Tian Chua

Kerajaan baharu mesti iktiraf 3 prinsip utama, kata Tian Chua

Naib presiden PKR mencadangkan beberapa prinsip untuk negara terus bergerak selepas pengunduran Muhyiddin Yassin.

Tian Chua berkata, semua Ahli Parlimen daripada parti yang memenangi mandat rakyat pada PRU14 perlu mengetepikan perbezaan serta pertelingkahan dan segera bersatu untuk membentuk kerajaan yang sah.
PETALING JAYA:
Dengan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, kerajaan baharu yang akan dibentuk mesti mengiktiraf tiga prinsip utama, kata Tian Chua.

Dalam kenyataan, naib presiden PKR itu berkata, pentadbiran baharu perlu kembali kepada mandat rakyat untuk mengembalikan kerajaan yang sah.

“Asas kerajaan pasca-Muhyiddin mesti dipimpin oleh parti-parti dan Ahli Parlimen yang memenangi mandat pada pilihan raya 2018.

“Semua Ahli Parlimen daripada parti yang memenangi mandat rakyat harus mengetepikan perbezaan dan pertelingkahan sebelum ini dan segera bersatu untuk proses pembentukan kerajaan yang sah,” katanya.

Tian Chua berkata, keperluan untuk mengiktiraf amalan pemisahan dan persaingan politik adalah satu kesilapan, sambil menambah bahawa inklusiviti dan perundingan adalah kunci untuk memastikan penyertaan demokrasi yang sihat.

Beliau berkata, perdana menteri yang baharu perlu mendapatkan semua parti parti politik untuk menjadi sebahagian dalam pakatan perpaduan yang memastikan perkongsian kuasa dan tanggungjawab kerana ini akan mewujudkan suasana kondusif untuk kestabilan politik.

Ketiganya, beliau menambah kerajaan baharu perlu amanah dengan tanggungjawab diberikan berdasarkan kemampuan dan kecekapan.

“Ada keperluan untuk meningkatkan keupayaan dalam menguruskan institusi dalam memastikan pandemik dapat diperangi dengan efektif.

“Pentadbiran baharu harus mematuhi prinsip-prinsip tadbir urus yang baik dengan sentiasa beroperasi dengan telus, bertanggungjawab dan bebas rasuah,” katanya.

Tian Chua berkata, fokus kerajaan baharu mesti untuk menyelamatkan nyawa dengan memperkuat sistem penjagaan kesihatan untuk mengatasi pandemik Covid-19.

Beliau juga berkata, pembinaan semula ekonomi dan menjaga sumber pendapatan mereka yang kesempitan dan membangun perpaduan nasional juga perlu dititikberatkan.

“Kami menggesa pemimpin semua parti politik untuk mengetepikan kepentingan dan prasangka kepartian. Mari kita mulakan proses pembinaan negara dan segera mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.