2 maut 1 parah bergaduh atas tongkang

2 maut 1 parah bergaduh atas tongkang

Dua lelaki termasuk juragan ditemui mati manakala seorang lagi mangsa kini stabil dan sedang menerima rawatan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Mancha Ata menunjukkan senjata yang digunakan dalam kejadian itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua lelaki maut dan seorang parah dalam pergaduhan di atas tongkang yang sedang berlabuh di Muara Tabuan, Kuching, pagi tadi.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mancha Ata berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung pergaduhan itu pada 2.31 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis yang bergegas ke lokasi kemudian membuat pemeriksaan di dalam tongkang terbabit.

“Pemeriksaan di bahagian dek juragan menemui dua lelaki terbaring tidak sedarkan diri.

“Pembantu pegawai perubatan yang turut berada di lokasi kemudian mengesahkan kedua-dua lelaki tempatan itu sudah meninggal dunia,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati beberapa kesan kecederaan akibat tetakan dengan senjata tajam pada tubuh kedua-dua mangsa berusia 20-an itu dengan seorang daripadanya adalah juragan tongkang berkenaan.

Menurutnya, seorang lagi mangsa yang juga lelaki tempatan berusia 50-an yang parah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

“Walaupun parah, namun keadaan mangsa kini stabil.

“Ketika kejadian itu, seramai tujuh orang berada di dalam tongkang berkenaan, iaitu tiga warganegara, tiga warga India dan seorang Indonesia dengan semuanya adalah pekerja tongkang,” katanya.

Mancha berkata, suspek utama, seorang lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun menyerah diri di Balai Polis Bintawa tidak lama selepas kejadian itu.

“Polis mendapat perintah reman suspek selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 23 Ogos ini bagi melengkapkan siasatan kes itu yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.