Pusat kiropraktik kembali beroperasi selepas 2 bulan

Pusat kiropraktik kembali beroperasi selepas 2 bulan

Naib Presiden Persatuan Kiropraktik Malaysia Wong Yi Kai berkata ia selepas mereka diberi kebenaran oleh Kementerian Kesihatan.

Kiropraktor perlu mematuhi SOP yang ketat ketika memberikan rawatan kepada pesakit. (Gambar Dr Randeep Singh)
PETALING JAYA:
Pusat kiropraktik telah beroperasi semula selepas ditutup selama dua bulan susulan pelaksanaan sekatan akibat Covid-19.

Naib Presiden Persatuan Kiropraktik Malaysia Wong Yi Kai berkata kebanyakan pengamal mereka telah kembali beroperasi sejak minggu pertama bulan ini selepas mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan.

Dia berkata garis panduan baharu membenarkan rundingan secara bersemuka dan sentuhan fizikal dilakukan.

Pengamalnya mesti menggunakan gaun pakai buang yang perlu ditukar selepas setiap sesi selain memakai sarung tangan pakai buang, pelitup muka tiga lapis dan pelindung muka ketika bersemuka dengan pesakit.

Peralatan seperti meja rawatan, kerusi dan modaliti untuk melegakan kesakitan, perlu dinyahkuman setiap kali selepas digunakan pesakit.

“Kami sedar mengenai kepentingan prosedur operasi standard (SOP) dan tidak akan memandang remeh perkara itu,” kata Wong yang menambah bahawa garis panduan itu diterima baik oleh pesakit.

Dia menasihatkan pusat kiropraktik mendapatkan surat kelulusan melalui Intelligent Management System (CIMS) 3.0 oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) .

Pusat kiropraktik dianggap sebagai perkhidmatan bukan keperluan dan diarahkan menutup operasi pada 1 Jun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara.

Persatuan itu sebelum ini membuat rayuan supaya dibenarkan beroperasi semula kerana ketiadaan rawatan itu menyebabkan keadaan ramai pesakit yang sedia mengalami masalah pada saraf, kecederaan cakera dan pelbagai masalah serius akan kembali merosot.

Wong berkata sepanjang penutupan selama dua bulan pertama, perkhidmatan kiropraktor hanya terhad kepada tele-rundingan dan panggilan video.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.