Bapa mangsa tembakan di TUDM bangga anak mati syahid

Bapa mangsa tembakan di TUDM bangga anak mati syahid

Sharif Mohd Siddiq antara empat anggota terkorban dalam insiden tembakan di Kem Skuadron 330 TUDM Kota Samarahan, Jumaat lalu.

Wan Sabli berkata dia reda dengan pemergian anaknya malah berbangga anaknya mati syahid.
PETALING JAYA:
Bapa kepada Sharif Mohd Siddiq Al-Attas yang maut ditembak dalam insiden tembakan di Kem Skuadron 330 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kota Samarahan, Jumaat lalu, bangga anak kesayangannya mati syahid.

Wan Sabli Wan Saie, 56, ketika ditemui selesai upacara pengebumian anaknya, di Tanah Perkuburan Kampung Melayu Siniawan Seberang, hari ini, berkata, beliau reda dengan pemergian arwah.

“Sebagai bekas tentera, saya bangga anak saya mati syahid. Kita sudah terbiasa menghadapi situasi ini malah lebih teruk lagi daripada itu.

“Alhamdulillah, Allah mengambilnya dengan cara mati syahid,” katanya di Bau, Sarawak, memetik laporan Utusan Borneo.

Sharif Mohd Siddiq merupakan antara empat anggota yang terkorban dalam insiden tembakan di Kem Skuadron 330 TUDM Kota Samarahan pada Jumaat lalu.

Allahyarham adalah anak kedua daripada tujuh adik beradik dan meninggalkan seorang balu, Shima Mustapha, 29, serta tiga anak termasuk bayi lelaki berusia dua bulan.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada pihak TUDM yang banyak membantu daripada pelbagai sudut sejak arwah mula berkhidmat sehingga dikebumikan.

Wan Sabli turut berterima kasih kasih juga kepada Panglima Wilayah Udara Dua, Shamsudin Kassim kerana sudi hadir memberi penghormatan terakhir di hari pengebumian anaknya.

Ditanya bila kali terakhir berjumpa dengan anaknya, Wan Sabli dengan sebak berkata semasa arwah memintanya menggunting rambut sehari sebelum kejadian.

“Tiada pesanan ditinggalkan, dia hanya meminta saya untuk menggunting rambut sebab pagi (Jumaat) dia nak turun kerja.

“Memang sempat gunting rambut kerana arwah tinggal di belakang rumah saya,” katanya.

Sementara itu, adik bongsu arwah, Sharif Mohd Syukri Al-Attas, 15, kelihatan tidak dapat mengawal emosi sedih atas pemergian abangnya.

Beliau yang rapat dengan arwah hanya mampu memberitahu saat terakhir bersama abangnya ketika menggunting rambut bersama-sama di rumah bapa mereka.

“Kemudian saya menemani abang pulang ke rumahnya,” kata Syukri yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paku di Bau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.