
Beliau berkata, sebaliknya Goh adalah pengasas Open Road yang kini hanya bertindak selaku penasihat bagi aktiviti perniagaan Open Road.
Oleh itu, katanya, perjanjian bagi projek usaha sama Open Road International Circuit And Integrated Resorts (ORIC) yang termeterai antara PKB dan Open Road tidak melibatkan tandatangan beliau sama sekali.
“Malahan PKB telah menjalankan proses ‘due diligence’ yang sewajarnya dan mendapati Open Road adalah syarikat yang berkemampuan, bukan syarikat yang muflis serta pengarah syarikat bukanlah individu yang berstatus bankrap sebagaimana dinyatakan pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan.
Abdul Rahman juga berkata, tidak timbul isu penganugerahan projek secara terpilih atau istimewa memandangkan Open Road selaku pemaju adalah pihak yang bertanggungjawab penuh bagi menyediakan dana dan menanggung semua kos pembangunan di atas hartanah milik PKB.
Pada 11 Ogos, ahli PKR Sungai Siput Indrani Selvakumar membuat laporan polis di Puchong terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dengan mendakwa tokoh utama dalam syarikat yang mendapat projek berkaitan pelancongan bernilai berbilion ringgit di Kedah itu ialah individu muflis sejak beberapa tahun lalu berdasarkan pencariannya dengan Jabatan Insolvensi.
Beliau mempersoalkan bagaimana sebuah projek berbilion ringgit diberikan kepada syarikat yang tokoh utamanya sudah diisytiharkan muflis.
Katanya, individu terbabit pernah didakwa oleh Suruhanjaya Sekuriti kerana manipulasi pasaran.
ORIC adalah sebuah projek litar lumba antarabangsa yang dilaksana secara usaha sama antara PKB dan Open Road.
Sebelum ini, Sanusi menafikan dakwaan ahli PKR Sungai Siput itu bahawa kerajaan negeri menganugerahkan projek bernilai RM1.3 bilion kepada sebuah syarikat sebagaimana dilaporkan media sebelum ini.
Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak memiliki wang sebanyak itu untuk melaksanakan projek pembangunan, apatah lagi projek berkaitan litar perlumbaan kereta.