Tak sampai 2 minggu bertugas, pembantu perubatan meninggal dunia di pusat kuarantin

Tak sampai 2 minggu bertugas, pembantu perubatan meninggal dunia di pusat kuarantin

Polis berkata, mangsa sudah meninggal dunia kira-kira tujuh jam sebelum disedari rakan sekerjanya.

Polis berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kesan pecah masuk atau kehilangan barang milik mangsa.
PETALING JAYA:
Seorang pembantu perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) meninggal dunia di bilik rehat tingkat dua pusat kuarantin King Centre di Kuching, Sarawak, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Ahsmon Bajah berkata, mangsa berusia 28 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh rakan sekerja di bilik itu sekitar 7.07 malam.

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Mukah baharu ditugaskan ke pusat kuarantin berkenaan 2 Ogos lalu.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan tiada sebarang kesan pecah masuk atau kehilangan barangan milik si mati.

“Pemeriksaan tubuh badan juga mendapati tiada sebarang kecederaan dialami mangsa.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh lebih kurang tujuh jam sebelum ia disedari rakan sekerja si mati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk saringan Covid-19 dan bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi serta menghormati privasi keluarga mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.