33 kanak-kanak yatim piatu akibat Covid-19, kata menteri

33 kanak-kanak yatim piatu akibat Covid-19, kata menteri

Rina Harun berkata kanak-kanak terlibat akan dibantu dari segi keperluan sosial seperti penjagaan dan perkhidmatan kaunseling.

Rina Harun berkata kanak-kanak terlibat sama ada diserahkan kepada waris terdekat yang bersedia dan berkemampuan, atau ditempatkan di institusi ditetapkan.
PETALING JAYA:
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenal pasti 33 kanak-kanak yang hilang tempat bergantung selepas ibu bapa atau penjaga meninggal dunia akibat Covid-19 di seluruh negara setakat ini.

Menterinya Rina Harun berkata kanak-kanak yang menjadi yatim piatu secara tiba-tiba itu akan dibantu dari segi keperluan sosial seperti penjagaan dan perkhidmatan kaunseling untuk mereka meneruskan kehidupan.

“Setakat ini senarai yang kita dapat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) ada 33 kanak-kanak. Kita mengalu-alukan penglibatan pemimpin masyarakat untuk melaporkan kepada kita sekiranya ada lagi kes kanak-kanak yang kehilangan kedua ibu bapa.

“Sebab kita tidak boleh jangka kes kematian ini. Laporan yang kita terima daripada KKM mungkin bertarikh sekian-sekian, tapi mungkin ada laporan yang lain boleh dimaklumkan kepada kita,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata, kanak-kanak terlibat akan diserahkan kepada ahli keluarga atau waris terdekat yang bersedia dan berkemampuan menjaga mereka.

Bagaimanapun, jika keadaan sebaliknya, Rina berkata kanak-kanak itu akan ditempatkan di institusi penempatan atau perlindungan kanak-kanak yang ada pada masa ini sama ada secara sementara atau tetap.

Antaranya ialah RKK Pokok Sena, Kedah; Taman Sinar Puteri (TSP), Batu Gajah, Perak; TSP Cheras, Kuala Lumpur; Rumah Budak Lelaki Melaka; RKK Mini Kelantan; TSP Kota Kinabalu, Sabah dan TSP Kuching, Sarawak.

“Selain itu kementerian juga mengenal pasti beberapa kaedah alternatif untuk membantu kanak-kanak ini, contohnya penempatan di bawah orang yang layak dan sesuai,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan remaja Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella yang didakwa didera baru-baru ini, Rina berkata kesihatannya menunjukkan perkembangan positif dan luka-luka di badannya semakin pulih.

Menurutnya, Bella kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bukan sahaja bertanggungjawab menjaga kebajikannya malah berusaha memulihkan semula emosinya.

“Dalam hal siasatan kes itu pula ia adalah di luar bidang kuasa kita tapi kita telah menggesa pihak berkuasa untuk menyelesaikan kes itu, sebab kita juga mahu pelaku dibawa ke muka pengadilan dengan segera supaya ia menjadi pengajaran kepada orang ramai,” katanya.

Sebelum ini, kisah Bella tular di laman sosial selepas seorang individu mendedahkan mengenai penderitaan remaja berkenaan yang mengalami kesan lecur dan luka di anggota badan dipercayai akibat didera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.