10 beradik yatim piatu sekelip mata akibat Covid-19

10 beradik yatim piatu sekelip mata akibat Covid-19

Lembaga Zakat Selangor hadir memberi bantuan demi meringankan nasib anak yatim berkenaan.

Mengikut rekod Lembaga Zakat Selangor, keluarga terbabit menjadi penerima asnaf Zakat Selangor sejak 2015.
(Gambar Facebook Lembaga Zakat Selangor)
PETALING JAYA:
Kematian ibu bapa akibat Covid-19 menjadi tragedi hitam kepada 10 beradik yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, sekali gus menjadikan mereka yatim piatu sekelip mata.

Susulan itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menziarahi keluarga berkenaan dengan dimaklumkan bapa kepada adik-beradik terbabit meninggal dunia, disusuli ibu mereka empat hari kemudian.

LZS dalam kenyataan di Facebook, berkata pasangan terbabit turut meninggalkan anak angkat masih kecil.

“Ikut rekod yang ada pada kami, keluarga ini adalah asnaf Zakat Selangor sejak 2015. Kami melawat anak-anak ini dan cuba memberikan kata-kata semangat buat mereka sambil menyampaikan sumbangan pek bakul makanan.

“Kata anak-anak ni, terdapat tunggakan sewa rumah, Insya-Allah kami akan bantu selesaikan. Kami juga akan proseskan bantuan khairat kematian buat arwah ayah dan ibu mereka.

“Bagi meneruskan bantuan yang mereka terima sebelum ini, kami akan kemaskini maklumat ketua keluarga kepada waris anak kedua arwah,” katanya.

Katanya, wang memang tidak dapat digantikan nyawa yang telah pergi, namun berharap bantuan zakat berkenaan sedikit sebanyak memberi kekuatan kepada anak-anak berkenaan untuk terus hidup walaupun kuat diuji.

Menurut LZS, keluarga berkenaan akan menerima bantuan khairat kematian keseluruhan berjumlah RM3,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.