8 ahli diberkas, kumpulan penjenayah berparang ‘Geng Acoi’ tumpas

8 ahli diberkas, kumpulan penjenayah berparang ‘Geng Acoi’ tumpas

Tangkapan membabitkan warga tempatan termasuk seorang wanita berusia 21 hingga 35 tahun.

Antara barangan yang dirampas daripada kumpulan penjenayah dikenali sebagai ‘Geng Acoi’.
PETALING JAYA:
Kumpulan penjenayah dikenali sebagai “Geng Acoi” yang aktif melakukan samun bersenjatakan parang tumpas apabila lapan ahlinya ditahan dalam serbuan di lima lokasi sekitar Selayang dan Gombak bermula 3 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, semua suspek membabitkan warga tempatan termasuk seorang wanita berusia 21 hingga 35 tahun.

“Secara keseluruhan polis merampas 74 telefon bimbit dan tiga komputer riba dipercayai hasil samun.

“Selain itu, turut dirampas tiga parang, empat pedang, dua pisau lipat, tiga pisau, kapak, dua ‘power bank’ dan enam motosikal dipercayai digunakan ketika melakukan samun,” katanya dalam kenyataan.

Farouk berkata, semakan mendapati tujuh suspek mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan narkotik.

“Manakala enam tangkapan didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

“Hasil tangkapan dan rampasan ini, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun berkumpulan dengan senjata di Ampang Jaya dan satu kes di Gombak,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun keseksaan iaitu samun berkawan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, modus operandi kumpulan itu melakukan samun yang menyasarkan mangsa berseorangan di kawasan sunyi.

“Suspek menggunakan senjata pisau atau parang untuk mendatangkan ketakutan sebelum mengambil barang kepunyaan mangsa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.