PSB sukar menang kerusi Cina dalam PRN Sarawak, kata penganalisis

PSB sukar menang kerusi Cina dalam PRN Sarawak, kata penganalisis

Penganalisis masih melihat parti DAP sebagai parti yang dominan di kawasan bandar.

Presiden PSB Wong Soon Koh (kiri) dan ADUN Batu Lintang See Chee How pada majlis pelancaran pasukan petugas PSB Kuching awal tahun ini.
PETALING JAYA:
Parti Sarawak Bersatu (PSB) dilihat sukar untuk memenangi kerusi majoriti Cina dalam pilihan raya negeri akan datang terutamanya jika ia menentang DAP, kata seorang penganalisis politik.

Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir berkata, ini disebabkan DAP masih lagi menjadi parti yang dominan di kawasan bandar.

Jeniri memberitahu FMT bahawa tidak mungkin PSB dapat mengalahkan DAP kecuali bagi kerusi Sibu di mana presidennya Wong Soon Koh begitu berpengaruh.

Beliau mengulas kenyataan Wong baru-baru ini apabila PSB mahu dilihat sebagai pilihan pengundi di 16 kerusi majoriti Cina dalam pilihan raya negeri berbanding gabungan GPS.

Kerusi itu ialah Meradong, Bukit Assek, Pending, Kota Sentosa, Padungan, Dudong, Bawang Assan, Batu Lintang, Batu Kitang, Repok, Batu Kawa, Pelawan, Piasau, Tanjong Batu, Senadin dan Pujut.

“DAP mempunyai personaliti yang kuat dan jentera akar umbi yang berkesan berbanding PSB yang agak baharu,” kata Jeniri.

Katanya, ia akan menjadi “masalah” sekiranya kedua-dua parti memutuskan untuk mengadakan kerjasama kerana ia akan menimbulkan isu agihan kerusi.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, terdapat khabar angin sejak dua tahun lalu apabila PSB dan DAP dikatakan akan bekerjasama dalam pilihan raya negeri.

Beliau berkata, dua formula boleh digunakan, iaitu salah satunya dipanggil sebagai “pertandingan mesra” yang mana kedua-dua parti akan meletakkan calon untuk memecahkan undi namun dalam senario itu, SUPP akan mendapat faedah.

Katanya, dua parti terbabit boleh memenangi banyak kerusi jika mereka menggunakan satu formula lagi apabila setiap parti bertanding di kawasan yang mempunyai calon lebih kuat berbanding yang lain.

“PSB boleh juga menjadi kuat di beberapa kerusi Bumiputera kerana Baru Bian berada dalam parti,” katanya sambil menjelaskan bahawa tidak akan berlaku pertindihan dengan DAP kerana secara tradisinya ia akan bertanding di kerusi bukan Cina.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.