Polis Kelantan rampas dadah, pil kuda hampir RM3 juta

Polis Kelantan rampas dadah, pil kuda hampir RM3 juta

Bahan terlarang ditemui dalam rumah dihuni lelaki tempatan bersama isterinya yang berasal dari Thailand.

Shafien Mamat (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas. Kedua-dua suspek direman tujuh hari sejak 8 Ogos lalu kerana mengedar dadah dan berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan (Gambar Bernama)
PASIR MAS:
Polis merampas ‘heroin base’ dan pil kuda dianggarkan bernilai RM2.95 juta susulan penahanan sepasang suami isteri dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Tanah Merah di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata, rampasan dilakukan selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menahan seorang lelaki tempatan di satu kawasan di Pasir Mas, pada jam 1.20 tengah hari.

Beliau berkata, ketika ditahan tiada bahan terlarang ditemui pada lelaki berusia 27 tahun itu sebelum suspek membawa pasukan polis ke rumahnya yang terletak berdekatan dan mendapati isterinya, seorang warga Thailand berusia 23 tahun, berada di rumah tersebut.

“Ketika di rumah itu, suspek lelaki telah menunjukkan kepada polis satu bungkusan mengandungi ‘heroin base’ seberat 13.295kg dianggarkan bernilai RM1.234 juta.

“Turut ditemui 86,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM860,000. Polis turut menyita kenderaan, iaitu sebuah Proton Satria dan sebuah motosikal,” katanya pada sidang media di IPD Pasir Mas di sini, hari ini.

Menurut Shafien, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 8 Ogos lepas, mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Katanya, suspek lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori sudah enam bulan menjalankan kegiatan tersebut dan bekalan dadah itu kemungkinan akan dihantar ke negeri-negeri di selatan tanah air.

“Hasil kajian pihak narkotik mendapati dengan jumlah dadah sebanyak itu boleh dibekalkan kepada 43,000 penagih pil kuda dan lebih 800,000 penagih heroin,” tambahnya.

Beliau turut berkata, berdasarkan siasatan awal, polis mendapati kedua-dua suspek dan dadah yang dirampas itu dipercayai mempunyai hubung kait dengan sindiket pengedaran dadah yang pernah ditumpaskan sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.