
Berdasarkan sumber di Istana Negara itu, Agong tidak secara eksplisit menitahkan Muhyiddin yang dikatakan tiada sokongan majoriti supaya meletak jawatan.
“Namun Tuanku menyentuh Perkara 43(4) Perlembagaan,” kata sumber itu kepada FMT.
Perkara 43(4) Perlembagaan menyatakan jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Agong.
Sultan Abdullah berkenan menerima Perdana Menteri menghadap di Istana Negara hari ini untuk pramesyuarat Jemaah Menteri.
Pertemuan hari ini menjadi perhatian selepas 14 Ahli Parlimen Umno menandatangani akuan berkanun mengisytiharkan kepada Agong bahawa mereka menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.
Muhyiddin minggu lepas selepas menghadap Agong mengumumkan beliau tidak akan meletak jawatan meskipun ditekan Umno dan pembangkang.
Sebaliknya, kerajaan akan membentangkan usul percaya di Dewan Rakyat pada September bagi menguji sokongan terhadap beliau.
Katanya, langkah itu mendapat perkenan Agong.
Ini disusuli dengan sidang media Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa 31 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan terus menyokong kerajaan Muhyiddin.
Namun, angka itu menjadi pertikaian kerana beberapa Ahli Parlimen dalam senarai yang ditunjukkan kepada media pada sidang akhbar itu menafikan menyokong Muhyiddin.