Peningkatan kes rogol di Sarawak mungkin hanya ‘sebahagian kecil daripada masalah besar’

Peningkatan kes rogol di Sarawak mungkin hanya ‘sebahagian kecil daripada masalah besar’

Banyak kes serangan seksual tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa, kata sebuah persatuan wanita.

Sarawak melaporkan peningkatan 14% dalam kes rogol pada separuh pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 50 kes melibatkan kanak-kanak bawah umur. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Peningkatan laporan kes rogol di Sarawak mungkin hanya sebahagian kecil daripada masalah yang dihadapi memandangkan banyak kes serangan seksual tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa, kata sebuah persatuan wanita.

Minggu lalu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Fatimah Abdullah berkata, kes rogol di negeri berkenaan meningkat 14% pada separuh pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan 50 kes melibatkan kanak-kanak bawah umur.

Persatuan Women for Women Sarawak berkata, walaupun sukar untuk membuat kesimpulan pasti daripada peningkatan itu, ia selaras dengan trend yang dilihat di seluruh dunia yang berdepan perintah sekatan buat jangka masa yang lama.

“Berdasarkan trend global, kami mengesyaki wabak cenderung meningkatkan insiden penderaan seksual intra-keluarga seperti sumbang mahram, rogol bawah umur dan rogol dalam perkahwinan, selain peningkatan pengantunan dalam talian yang membawa kepada penderaan,” kata jurucakap persatuan kepada FMT.

Dalam banyak kes, penderaan sering tidak dilaporkan kecuali kehamilan berlaku, yang dapat menjelaskan mengapa dalam kalangan kes rogol yang dilaporkan pada separuh pertama tahun ini, lebih 61% dikatakan berlaku kehamilan.

Tambahan lagi segelintir kejadian rogol hanya dilaporkan selepas ia lama berlaku.

“Ada banyak faktor yang menghalang sebarang bentuk rogol dilaporkan. Tumpuan kita perlu diberikan kepada langkah menghapuskan halangan ini dan membanteras mitos berkait penderaan seksual,” kata jurucakap itu.

Selain mengajar anak-anak lelaki supaya menghormati hak wanita, wanita dan kanak-kanak harus diperkasakan untuk bersuara apabila mengalami serangan atau gangguan seksual.

“Mereka mesti faham hak mereka dan tahu di mana untuk dapatkan bantuan. Orang ramai dan pihak berkuasa juga mesti menolong dengan cara yang menunjukkan empati dan tidak menghakimi.

“Rogol ketika keluar bersama boleh berlaku, pekerja seks boleh dirogol, para isteri boleh dirogol oleh suami, malah kanak-kanak lelaki boleh didera secara seksual,” tambahnya.

Menerapkan nilai-nilai ini bukan sahaja akan meminimumkan bilangan kes rogol yang tidak dilaporkan dan tidak dihukum, tetapi juga mendorong mangsa tampil pada masa lebih tepat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.