
Pegawai di kedutaan asing di negara ini memberitahu mereka dihujani panggilan daripada rakyatnya yang meminta surat rasmi sebagai “laluan selamat” untuk ke PPV.
Walaupun terdapat banyak pengumuman media mengenai dasar larangan penangkapan, mereka tidak mempunyai sebarang surat bertulis yang diberikan oleh kerajaan.
“Tiada sebarang hitam putih mengatakan mereka tidak akan ditahan sebaik keluar dari PPV terutamanya selepas suntikan dos kedua. Mereka juga bimbang ditahan di sekatan jalan raya dalam perjalanan untuk mendapatkan suntikan.
“Ia tidak adil untuk kami memberitahu mereka supaya tidak bimbang hanya kerana media melaporkannya. Kami perlu melindungi rakyat kami sama ada menetap secara sah atau sebaliknya,” kata sumber kepada FMT.
Seorang lagi pegawai yang enggan namanya didedahkan berkata, amat penting untuk negara mencapai imuniti kelompok dengan memberi vaksin kepada kumpulan itu, selain menambah bahawa ramai yang mati akibat Covid-19 terdiri daripada golongan yang tidak mendapat inokulasi.
“Saya difahamkan pegawai dari misi asing telah bertemu dengan pegawai kerajaan untuk mendapatkan jaminan secara bertulis beberapa kali tetapi kami masih menunggu dokumen rasmi itu,” katanya.
Katanya, kebanyakan pekerja bimbang mengenai tindakan yang mungkin diambil terhadap mereka selepas mendapat suntikan dos kedua.
FMT cuba mendapatkan pegawai di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi mereka enggan mengulas.
Dengan jumlah pekerja asing tanpa dokumen yang dianggarkan lebih sejuta orang, aktivis dan kumpulan pekerja menggesa dokumen rasmi menggariskan panduan mengenai pemberian vaksin secara selamat kepada kumpulan berkenaan.
Pengarah Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira sebelum ini menggesa kerajaan mengadakan pertemuan dengan pemimpin migran dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mencari jalan terbaik bagi menggalakkan pekerja terbabit datang mendapatkan suntikan.
Katanya, ia agak memeranjatkan apabila isu itu masih belum diselesaikan walaupun pandemik telah berlarutan sejak lebih setahun lalu.
Awal tahun ini, Putrajaya berkata, warga asing termasuk tanpa dokumen akan diberikan suntikan vaksin secara percuma sebagai usaha negara mencapai imuniti kelompok.
Pada Jun, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, beliau akan mengutarakan kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mengenai usaha memberi suntikan vaksin kepada pekerja asing tanpa dokumen melalui kerjasama kedua-dua kementerian itu.