
Ia menyusuli pendedahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam, beliau menerima surat daripada exco Terengganu dan Kelantan yang meminta kelulusan projek tertentu.
Anwar yang juga menteri kewangan mengecam permohonan tidak beretika, yang didakwa berbeza sama sekali dengan surat sokongan biasa termasuk kes membabitkan bekas setiausaha politik kanannya Shamsul Iskandar Mohd Akin yang hanya meminta permohonan syarikat tertentu dipertimbangkan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata tindakan itu melampaui ‘garis merah’ ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PK 2.4 (Perkara 2.1).

Katanya, ini kerana permohonan rundingan terus hanya boleh dikemukakan oleh pegawai pengawal kepada Kementerian Kewangan, bukannya ahli politik.
“Surat exco yang meminta kelulusan projek secara langsung adalah satu bentuk campur tangan politik, memintas proses perolehan serta boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa,” katanya kepada FMT.
Jais berkata, walaupun surat sokongan seperti kes Shamsul tidak melanggar PK 2.4 dan hanya di ‘zon kelabu’, ia tetap mewujudkan tekanan tersirat kepada penjawat awam dan perlu dihentikan sepenuhnya.
“Maka MCW menggesa kerajaan mewujudkan garis panduan nasional surat sokongan, termasuk larangan secara menyeluruh penggunaannya dalam urusan perolehan.
“Pada masa sama, turut mewujudkan sistem log surat sokongan serta memberi kuasa kepada pegawai untuk menolak campur tangan politik,“ katanya.
Selasa lalu, Shamsul mengumumkan peletakan jawatan sebagai setiausaha politik kanan perdana menteri berikutan terdapat percubaan menyerangnya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.
Bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu dikritik susulan tindakannya menulis surat sokongan untuk sebuah projek hospital, tindakan yang turut menyebabkannya ditegur Anwar kerana peraturan kerajaan tidak membenarkan pengeluaran surat seperti itu.