Kelantan nafi exco hantar surat minta PM lulus projek

Kelantan nafi exco hantar surat minta PM lulus projek

Timbalan Menteri Besar Fadzli Hassan memaklumkan perkara itu selepas ia dibincangkan dalam mesyuarat exco hari ini bagi tujuan semakan.

Mohamed Fadzli Hassan
Timbalan Menteri Besar Kelantan Fadzli Hassan berkata pihaknya perlu melihat terlebih dahulu surat berkenaan dan ianya dalam konteks yang bagaimana. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kelantan menafikan exconya menghantar surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan menyenaraikan nama syarikat tertentu untuk cadangan kelulusan sebagaimana didedahkan di Parlimen semalam.

Timbalan Menteri Besar, Fadzli Hassan, memaklumkan perkara itu selepas isu berkenaan turut dibincangkan dalam mesyuarat exco hari ini bagi tujuan semakan.

“Saya dimaklumkan tidak ada exco menghantar surat dengan menyebut nama syarikat secara spesifik untuk cadangan kelulusan. Malah, saya tidak boleh mengulas lanjut kerana kita sendiri tidak melihat surat yang didedahkan oleh perdana menteri.

“Jadi, untuk komen secara lanjut saya perlu melihat terlebih dahulu surat berkenaan dan ianya dalam konteks yang bagaimana,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco di Kota Darulnaim.

Semalam, Anwar mendedahkan menerima surat daripada exco Terengganu dan Kelantan yang meminta kelulusan projek tertentu daripadanya.

Beliau berkata, permohonan seperti itu tidak beretika kerana mereka tidak sepatutnya meminta perdana menteri memberikan kelulusan terus terhadap projek yang dimohon.

Menurut Anwar, permintaan sedemikian berbeza sama sekali dengan surat sokongan biasa termasuk kes membabitkan bekas setiausaha politik kanannya Shamsul Iskandar Mohd Akin yang hanya memohon permohonan syarikat tertentu dipertimbangkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.