Kerajaan rayu ganti rugi RM250,000 kes kematian dalam tahanan

Kerajaan rayu ganti rugi RM250,000 kes kematian dalam tahanan

Peguam yang mewakili Rahaya Salleh berkata kerajaan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Rahaya Salleh (kanan) bercakap kepada wartawan selepas Mahkamah Rayuan memerintahkan ganti rugi dan kos lain berjumlah RM302,800 diberikan kepadanya pada 7 Julai lalu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Ibu kepada seorang pekerja kilang yang meninggal dunia dalam penjara tujuh tahun lalu perlu menunggu lebih lama untuk mengetahui sama ada beliau berhak mendapat ganti rugi RM250,000 atas kecuaian seperti diputuskan oleh Mahkamah Rayuan bulan lalu.

Peguam M Visvanathan, yang mewakili Rahaya Salleh berkata, kerajaan memfailkan rayuan terhadap ganti rugi itu di Mahkamah Persekutuan.

“Minggu lalu, kami menerima salinan kertas kausa menyatakan mereka sudah memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu terhadap penghakiman Mahkamah (Rayuan),” katanya sambil menambah tiga persoalan undang-undang sudah dirangka untuk memohon kebenaran daripada mahkamah tertinggi itu.

Bagaimanapun kerajaan tidak merayu terhadap pemberian ganti rugi dan kos.

Mahkamah Persekutuan akan meneruskan pendengaran merit rayuan, hanya jika ia yakin persoalan undang-undang yang dikemukakan itu berkepentingan awam dan dibangkitkan buat julung kali seperti dikehendaki di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman.

Pada 7 Julai lalu, panel tiga hakim yang terdiri daripada Yaacob Md Sam, Ahmad Nasfy Yasin dan M Gunalan, memutuskan ganti rugi RM302,800 dan kos RM35,000 diberikan kepada Rahaya atas kematian anaknya, Kamarulnizam Ismail.

Selain RM250,000 untuk kecuaian, panel itu turut memutuskan tuntutan tanggungan RM40,800 dan ganti rugi khas RM10,000 diberikan kepada Rahaya.

Perbelanjaan pengebumian sebanyak RM2,000, yang diarahkan Mahkamah Tinggi Ipoh, turut dikekalkan.

Panel itu turut memutuskan pemberian kos sebanyak RM35,000 untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Nasfy, yang menyampaikan keputusan itu berkata, Kamarulnizam ditahan dalam lokap polis mulai 14 Feb 2014 sehingga dia meninggal dunia dalam penjara pada 4 Mac 2014.

“Dia berulang kali disoal siasat polis dan pihak berkuasa penjara juga tidak memastikan kesihatan dan keselamatannya.”

Nasfy berkata, tidak masuk akal Kamarulnizam mengalami jangkitan dada dalam tempoh 24 jam.

Rahaya, 71, memfailkan saman terhadap kerajaan, polis dan Jabatan Penjara pada 2017 atas serangan dan kecuaian, selepas Kamarulnizam meninggal dunia di Penjara Tapah.

Dia dihantar ke penjara pada 3 Mac tahun sama untuk menjalani hukuman penjara dua minggu selepas mengaku bersalah terhadap dakwaan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Kecil.

Dia enggan membayar denda dan mahu dipenjarakan kerana berhasrat menggunakan wang itu untuk membaiki keretanya.

Rahaya berkata, anaknya ditahan polis bersama tiga yang lain serta mendakwa dia diserang oleh tiga anggota polis ketika ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.