PKS mahu ‘bebas’ hujung Ogos

PKS mahu ‘bebas’ hujung Ogos

Persatuan PKS berkata, kerajaan menganggarkan 50% penduduk telah divaksin pada masa itu.

PKS terkesan teruk akibat sekatan pergerakan dan mengharapkan semua sektor dibenarkan beroperasi pada hujung bulan ini.
PETALING JAYA:
Syarikat kecil dan sederhana menggesa Putrajaya membuka semula semua sektor perniagaan pada penghujung Ogos dengan prosedur operasi standard (SOP) untuk mereka yang menjalani kuarantin di rumah serta melintas sempadan bagi mengekang lonjakan.

Presiden Persatuan PKS Michael Kang berkata, ia telah mencadangkan supaya kerajaan menggunakan perantian berteknologi tinggi bagi mereka yang menjalani kuarantin di rumah.

“Alat ini dapat menjejak pergerakan dan tahap oksigen,” katanya.

Beliau menambah, itu juga satu cara untuk memastikan orang ramai tidak melanggar peraturan kuarantin, selain mengurangkan bilangan kematian sebelum tiba di hospital (BID).

Kerajaan membenarkan mereka yang berada dalam Kategori 1 dan 2 jangkitan Covid-19 menjalani kuarantin di rumah, namun pakar memberi amaran ini mungkin mengakibatkan lonjakan kes BID. Semalam, bilangan kematian mencapai rekod baharu dengan 360 kes.

Bagi perjalanan merentas negeri, persatuan itu mengharapkan ujian akan dilaksanakan sebelum seorang individu dibenarkan melintas sempadan.

“Ini akan memastikan jangkitan tidak merebak ke negeri lain dan mengakibatkan perniagaan terpaksa ditutup kembali,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan suami isteri yang tinggal berjauhan dibenarkan membuat perjalanan untuk berjumpa satu sama lain, termasuk dari negeri di bawah Fasa 1 yang kini menjalani sekatan pergerakan.

Makan secara ‘dine-in’ turut dibenarkan bagi negeri di bawah Fasa 2 ke atas.

Kang berkata, SOP yang berkesan adalah penting untuk memastikan jangkitan berkurangan dan perniagaan dibuka semula.

Menurutnya, sekatan pergerakan ini antara yang paling lama dialami di Malaysia yang menjejaskan perniagaan terutama di Lembah Klang sebagai nadi ekonomi negara.

“Peniaga mahukan imbangan antara nyawa dan mata pencarian dan ini boleh dicapai dengan SOP yang berkesan,” katanya.

Kang beberapa kali sebelum ini memberi amaran kepada kerajaan bahawa perniagaan tidak lagi dapat bertahan malah di ambang kehancuran. Katanya, lebih ramai akan dibuang kerja atau dipotong gaji kerana majikan tidak dapat menanggung kos overhed.

Beliau menggesa kerajaan membenarkan semua sektor dibuka semula pada hujung Ogos apabila kira-kira 50% populasi sepatutnya telah divaksin menurut anggaran Putrajaya.

“Kami memahami mereka yang telah menerima vaksin lengkap masih boleh dijangkiti. Namun dengan SOP yang betul dan sekiranya semua orang memakai pelitup muka serta sentiasa mensanitasi tangan, perniagaan boleh dibuka semula,” katanya.

Pakar ekonomi Yeah Kim Ling berkata, kerajaan mungkin masih mempertimbangkan sama ada ekonomi boleh dibuka semula dalam pada negara terus melaporkan sekitar 20,000 kes harian.

“Sebarang kelonggaran mungkin mengakibatkan lonjakan kes lagi. Penting untuk mengetahui dan mengatasi sebarang kekurangan yang ada,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan masih gagal menangani kluster tempat kerja terutama melibatkan pekerja asing. Kluster tempat kerja dikatakan antara punca utama lonjakan kes jangkitan Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.