Peguam Anwar tuduh polis pilih kasih

Peguam Anwar tuduh polis pilih kasih

Sankara N Nair mempersoalkan sikap pihak berkuasa yang seolah-olah berlengah dalam mengambil tindakan terhadap menteri kerajaan yang melanggar SOP.

Presiden PKR Anwar Ibrahim dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang lain dipanggil untuk diambil keterangan berhubung perhimpunan Ahli Parlimen di Dataran Merdeka Isnin lalu.
PETALING JAYA:
Seorang peguam yang mewakili Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menuduh polis bersikap pilih kasih dengan mengambil tindakan pantas terhadap Ahli Parlimen pembangkang dan melengah-lengahkan tindakan terhadap menteri kerajaan.

Sankara N Nair mempersoalkan sikap pihak berkuasa yang seolah-olah berlengah dalam mengambil tindakan terhadap individu seperti Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali apabila mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) awal tahun ini.

Malah polis terpaksa didesak supaya bertindak, kata Nair.

Sebaliknya, polis pantas bertindak memanggil Anwar, yang juga Presiden PKR, serta beberapa Ahli Parlimen pembangkang lain untuk disoal siasat berhubung percubaan Ahli Parlimen untuk bersidang di Dewan Parlimen.

Ahli Parlimen berkenaan meminta agar sidang khas Dewan Rakyat diteruskan walaupun ia ditangguhkan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) susulan pengesanan kes-kes positif Covid-19.

Sankara N Nair.

Ironinya kata Nair, pihak polis yang menjadikan kunjungan Ahli Parlimen ke Parlimen sebagai tindakan yang melanggar undang-undang dengan membuat sekatan jalan raya menyebabkan Ahli Parlimen berhimpun.

Beliau berkata, walaupun Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun memutuskan bahawa persidangan tidak diadakan, beliau tidak secara langsung menghalang Ahli Parlimen memasuki pekarangan Parlimen.

Kata Nair, pihak polis telah membuat “kesilapan besar yang mencetuskan kontroversi”.

Ahli Parlimen berhak pergi ke Parlimen untuk menjalankan tugas-tugas mereka yang lain, katanya.

Beliau berkata, secara teknikal polis telah melanggar undang-undang apabila mereka menghalang Ahli Parlimen memasuki Parlimen.

Beliau mempersoalkan sama ada polis akan turut menyiasat pertemuan pemimpin politik di kediaman peribadi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada hari Umno membuat keputusan menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Perhimpunan berkenaan melanggar peraturan kawalan penyakit berjangkit, katanya.

“Polis boleh menyiasat mereka yang singgah di rumah Muhyiddin tanpa perlu ada laporan dibuat,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.