
Berucap pada Konvensyen 80 Tahun Umno, Jalaluddin berkata beliau sebagai ketua bertanggungjawab terhadap krisis itu, namun menegaskan ia perlu dilakukan untuk membawa anggotanya ke landasan perjuangan sebenar.
“Umno Negeri Sembilan rela menjadi pembangkang daripada duduk di dalam Kerajaan dan melihat sahaja kesilapan yang dilakukan oleh Menteri Besar Aminuddin Harun.
“Umno Negeri Sembilan kini fokus memperkukuhkan akar umbi bagi menghadapi PRU16,” katanya.
Khamis lalu, Biro Politik Umno umum parti itu akan terus menyokong kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan walaupun menghormati Adun negeri itu yang kekal hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.
Isnin lalu, 14 Adun Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan terhadap Aminuddin kerana kegagalan naib presiden PKR itu menguruskan sebaiknya krisis institusi perlembagaan negeri sehingga menjadi perhatian umum.
Pakatan Harapan dan BN membentuk kerajaan negeri selepas masing-masing menang 14 serta 17 kerusi pada PRN 2023.
BN Negeri Sembilan turut mendakwa mempunyai majoriti mudah dalam DUN 36 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, dengan sokongan lima Adun Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan kesediaan bekerjasama.
Berhubung kerjasama pada pilihan raya umum itu, Jalaluddin berharap kepimpinan pusat benar-benar mendengar pandangan akar umbi.
“Matlamat utama yang harus difikirkan adalah Umno memenangi kerusi sebanyak mungkin dan kembali menjadi dominan.
“Jangan gadaikan masa depan Umno hanya kerana menjaga hati mana-mana pihak,” katanya.