
Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan penduduk bekerja pada Jun menurun 0.5% kepada 15.30 juta orang, berbanding Mei 2021, iaitu 15.37 juta orang dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk jatuh 0.4 mata peratus kepada 65% .
“Dalam usaha negara untuk terus melandaikan peningkatan kes harian baharu Covid-19, kedudukan tenaga buruh pada Jun 2021 berdepan dengan cabaran.
“Lonjakan kes harian membawa kepada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh pada bulan tersebut dengan hanya sektor ekonomi dan perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi,” katanya dalam kenyataan.
Dalam Statistik Tenaga Buruh Malaysia, Jun dan suku kedua tahun 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini beliau berkata, jumlah penduduk yang bekerja sendiri pula mencatatkan pertambahan sebanyak 4,100 orang kepada 2.50 juta orang, berbanding 2.49 juta orang pada Mei 2021.
Beliau berkata, sebahagian daripada tenaga buruh telah beralih kepada kumpulan tidak aktif yang membawa kepada penurunan dalam tenaga buruh kepada 16.07 juta orang berbanding Mei 2021, iaitu 16.10 juta orang dan penurunan itu adalah yang pertama direkodkan sejak April 2020 berikutan pandemik yang melanda negara.
Merujuk kepada prestasi keseluruhan bagi suku kedua 2021, Uzir berkata, bilangan tenaga buruh berkurang sebanyak 36,100 orang kepada 15.97 juta orang berikutan penurunan bilangan penduduk bekerja dan penganggur.
Katanya, lima negeri yang merekodkan kadar pengangguran tertinggi pada suku kedua 2021 adalah Labuan dengan 8.8% diikuti Sabah (8.7%), Perlis (5.3%), Kelantan (4.8%) dan Selangor (4.4%).